Expired : 18.06.18

Rusuhan di kuil: Perkasa syor keluarkan kertas putih


Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 19 Rabiulawal 1440H, Selasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bebas bagi mengeluarkan kertas putih dalam tempoh tiga bulan, memandangkan isu kekecohan dan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya semakin serius.


Tanpa mengira siapa yang mula mencetuskan pergaduhan, Presiden Perkasa, Datuk Dr Ibrahim Ali tetap mahukan siasatan secara telus segera dilaksanakan.


Menerusi hasil siasatan dan laporan kertas putih, mana-mana pihak yang bersalah mesti dan wajib diambil tindakan sewajarnya.


“Begitu juga dengan tindak-tanduk pihak pemaju serta pihak yang terlibat memukul dan membakar kenderaan awam. Tuduh-menuduh secara semberono tidak memastikan rakyat boleh mendapat kebenaran yang sebenar mengenai punca kejadian,” katanya.


Kira-kira jam 2 pagi semalam, ratusan individu berkumpul di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.


Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan berkenaan.


Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, terdapat dakwaan yang mengatakan pihak pemaju terlibat dengan mengupah kumpulan ‘gangster’ untuk menceroboh kuil.


“Tapi pihak pemaju menafikan tuduhan ini dan pasti semua pihak ingin mengetahui kebenarannya?


“Tidak boleh mana-mana pihak bertindak sendiri atau “take the law in their own hands“. Ini juga perbuatan terkutuk yang mesti diambil tindakan jika dakwaan ini didapati benar,” katanya.


Awal pagi tadi, berlaku satu lagi insiden kekecohan terbaharu di kuil berkenaan sehingga menyebabkan Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah.


Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) turut dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.


Norlida Ishak Shop