Expired : 18.06.18

Rusuhan di kuil: Usah berlagak jadi wira salahkan polis


KUALA LUMPUR, 19 Rabiulawal 1440H, Selasa – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak menjadi wira dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, yang berlaku awal pagi semalam.


Beliau berkata, perundangan sedia ada perlu dipatuhi dan tidak wajar meletakkan tanggungjawab untuk memikul kesalahan hanya kepada pihak polis.


“Sensitiviti keagamaan jangan letak pada sesuatu kaum sahaja, apatah lagi letakkan tanggungjawab kesalahan penguatkuasaan kepada polis.


“Jangan ada mana-mana pihak yang rasa seolah-olah menjadi wira kepada sesuatu agama, juga portfolio dipegang untuk perpaduan tapi jangan kedudukan ini dijadikan suatu tempat menunjukkan provokasi kepada penganut agama lain,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.


Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, yang menyalahkan pihak polis dalam kes rusuhan di kuil itu.


Menteri Pakatan Harapan itu mendakwa, polis lambat bertindak untuk mengawal insiden berkenaan.


Kira-kira jam 2 pagi semalam, ratusan individu berkumpul di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.


Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan berkenaan.


Awal pagi tadi, berlaku satu lagi insiden kekecohan terbaharu di kuil berkenaan sehingga menyebabkan Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah.



Norlida Ishak Shop