Expired : 18.06.18

“Saat Dia Pergi, Saya Pegang Anak Arwah,”- Achey Kongsi Kisah Arwah Abam, Rancang Tambah Anak


Suasa sedih dan sayu mengiringi upacara pengebumian jenazah Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan atau Abam Bocey di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu sekitar jam pukul 7.30 malam tadi.


Dianggarkan seramai 2,000 tetamu hadir bagi memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham.


Antara rakan artis yang hadir seperti Achey, Black, Fasha Sandha, Fizo Omar, Zamani, Datuk AC Mizal, Mark Adam dan Hairul Azreen.


Turut hadir bersama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.




Dalam pada itu, Achey yang merupakan sahabat terdekat arwah bersyukur kerana upacara pengebumian berjalan lancar.


“Dalam keadaan dia pergi saya bersyukur dan reda kerana dia pergi dengan tenang dan tidak meninggalkan apa-apa kontroversi.


“Saya harap doa orang ramai sampai kepada arwah dan semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman,” kata Achey seperti dipetik IGTV Awani.


Berkongsi momen indah bersama arwah, Achey yang sama-sama menganggotai kumpulan Bocey ada cerita sendiri.


“Kami (Abam, Fad dan Achey) ada berkongsi untuk menambah anak kerana kami suka bercerita mengenai hal demikian. Itulah antara momen kami kongsikan bersama 


“Dia (arwah) ada cakap dia nak tambah anak lagi seorang. Saat dia pergi, saya pegang anak arwah memang sangat sayu. Tambahan pula, anak arwah masih kecil,” kata Achey dalam nada sebak.


Sementara itu, Achey menjelaskan bahawa mereka sudah membuat persediaan untuk bekerjasama dalam sebuah program menerusi platform media sosial.


“Kami ada perancangan untuk membuat satu program yang menggunakan platform media sosial. Malah, persiapan sudah pun dilakukan dan itu juga merupakan idea arwah. 


“Saya dan Fad akan teruskan karier dan tanggungjawab ini. Kami juga ada periuk nasi masing-masing. Kami akan cuba kembangkan apa yang kami ada. Kami tak akan lupakan dia,” akhiri Achey tenang. 


Terdahulu, Allahyarham Abam meninggalkan seorang balu, Siti Nur Hidayah Mohd Ali, 28, dan anak lelaki mereka Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini mencecah usia 5 bulan.


Arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada pagi Isnin, sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Selayang bagi proses bedah siasat.


Jenazahnya kemudian dibawa ke Masjid Zakaria, Gombak kira-kira jam 5.30 petang semalam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu sekitar jam pukul 7.30 malam.




Foto/Sumber: Awani