v Saksi Menangis, Tegaskan Cek Yang Diberi Kepada Ahmad Zahid Sumbangan Politik
Expired : 18.06.18

Saksi Menangis, Tegaskan Cek Yang Diberi Kepada Ahmad Zahid Sumbangan Politik

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Saksi ke-31 kes dakwaan rasuah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebak ketika memberi keterangan sehingga memaksa mahkamah berhenti rehat selama 10 minit.

Datuk Abu Hanifah Nordin, 68 yang merupakan pemilik Sarana Kencara Sdn. Bhd. dilihat mengesat kedua-dua kelopak matanya ketika menjawab soalan peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Abu Hanifah juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas pemegang saham terbesar Datasonic Group Berhad (DGB), serta pengarah dalam Datasonic Technologies Sdn Bnd (DTSB).

Peguam: Datasonik satu-satunya syarikat yang layak membekalkan cip polycarbonate kepada kerajaan. Setuju?

Abu Hanifah: Kami yang terbaik. Kami telah bersedia. Ada syarikat cuba untuk mendapatkan kontrak itu.

Peguam: Datuk tahu atau tidak pembekalan cip polycarbonate (dengan syarikat Abu Hanifah) telah menjimatkan berjuta-juta ringgit wang kerajaan?

Abu Hanifah: Benar. Kami yang paling murah dan terbaik. Ada yang dikatakan (fitnah) terhadap syarikat (kami) hanyalah khabar angin.

Abu Hanifah tiba-tiba senyap. Dia kelihatan mengesat matanya dengan sapu tangan. Ahmad Zaidi yang menyedari situasi tersebut bertanya sama ada Abu Hanifah ok atau tidak.

Saksi masih mendiamkan diri dan hanya mengesatkan matanya sekaligus memaksa peguam memohon kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk berhenti rehat selama 10 minit.

Selepas perbicaraan bersambung, Abu Hanifah berkata, dia menjadi emosi apabila saksi pendakwaan Dr Uzailee Abdul Latif dalam keterangan di mahkamah semalam didakwa bercakap tidak benar mengenai syarikatnya.

Dr Uzailee yang merupakan bekas timbalan setiausaha bahagian perolehan kerajaan Kementerian Kewangan (MOF) semalam berkata, Kementerian Dalam Negeri pernah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi DTSB.

Syarikat itu didakwa sering lewat membekalkan polikarbonat sehingga menyebabkan Jabatan Imigresen (JIM) terputus bekalan sehingga menjejaskan prestasi perkhidmatan.

Ahmad Zahid, selaku Menteri Dalam Negeri pada April 2017 dituduh menerima rasuah RM6 juta dalam dua keping cek daripada pengarah DTSB Chew Ben Ben didakwa untuk kontrak pembekalan 12.5 juta cip pasport Malaysia selama lima tahun kepada DTSB.

Dua keeping cek masing-masing bernilai RM1 juta dan RM5 juta itu dikeluarkan oleh Sarana Kencara Sdn Bhd.

Di dalam mahkamah hari ini, Abu Hanifah yang juga merupakan saksi pendakwaan beberapa kali menyatakan beliau tidak bersetuju cek yang diberikan kepada Ahmad Zahid adalah rasuah.

Dalam kenyataan secara bertulis kepada mahkamah dan keterangannya ketika disoal peguam, Abu Hanifah menengaskan dua cek yang diberikan kepada Ahmad Zahid merupakan sumbangan politik.

Peguam: Saya terus kepada kenyataan bertulis (Abu Hanifah), perenggan 60 dan 68. Ada bersangkutan.

Saya bacakan perenggan 60. “Tujuan pembayaran duit itu merupakan duit sumbangan politik dan tidak ada kena mengena dengan Datasonic Group Berhad, DTSB atau anak-anak syarikatnya dan SKSB tidak ada talian perniagaan dengan Datasonic Group atau anak-anak syarikatnya.”

Saya bacakan perenggan 68, “Kedua-dua cek tersebut bukanlah sebagai wang rasuah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana KDN telah menganugerahkan projek kepada DTSB/DGB.”

Datuk masih berpegang pada kenyataan ini?

Abu Hanifah:  Pada pendapat saya, pengetahuan saya ini bukan rasuah.

Peguam: Cek yang Datuk beri kepada Chew Ben Ben untuk disampaikan kepada Zahid Hamidi, Datuk jelaskan itu bukan wang rasuah dan tidak ada kaitan dengan Datasonic mendapat kontrak?

Abu Hanifah: Bukan (wang rasuah) Tiada kaitan dengan Datasonic. Pada padangan saya, saya dan isteri pemilik Sarana Kencana. Sarana Kencana sangat berterima kasih dengan government of the day. Datuk Seri Najib wujudkan Skim Jejak Jaya pada 2008. Dia memberi saya projek bernilai RM20 juta dengan itu kami menjadi syarikat disenaraikan dan berharga RM40 juta.

Kini syarikat yang sama bernilai RM2 bilion. Tidakkah saya patut berterima kasih kepada kerajaan?

Peguam: Kalaulah begitu keadaannya dan Datuk Zahid terima cek tersebut dan digunakan untuk kegiatan Yayasan Akalbudi untuk tujuan amal jariah. Adakah Datuk mempunyai sebarang bantahan?

Abu Hanifah: Tidak ada masalah.

Abu Hanifah turut menekankan perkara yang sama kepada peguam pendakwaan, Ahmad Sazilee Abdul Karim bahawa cek yang diberikan kepada Ahmad Zahid bukanlah rasuah sebaliknya hanyalah sumbangan politik.

Pendakwaan: Peguam (Ahmad Zahid) tadi ada merujuk Datuk kepada (pengakuan bertulis) perenggan 60 dan 68. Datuk telah menegaskan bahawa ini bukan rasuah. Boleh Datuk jelaskan?

Abu Hanifah: Saya waktu itu CEO Datasonic, saya juga Pengerusi Sarana Kencana dan saya juga pegarah beberapa buah syarikat.

Kami beri sumbangan atas nama Serana Kencana Sdn. Bhd. kerana kita berbesar hati sebab syarikat yang kita senaraikan itu dari bernilai RM40 juta kini menjadi lebih RM2 bilion.

Begitu juga Chew Ben Ben. Dia mengetuai beberapa syarikat. Dia ambil cek daripada saya dan pergi beri kepada Datuk Seri Ahmad Zahid.

Semua ini dilakukan dalam urusan Sarana Kencana. Kenapa pula sekarang dikaitkan dengan projek-projek Datasonic. Saya pun tidak faham. Kenapa tidak dikaitkan dengan syarikat lain yang saya ada?

Semua ini hanya berkaitan dengan Serana Kencana dan bagaimana ia mendapat manfaat daripada skim yang kerajaan wujudkan. Bagi kami hanyalah kepada the government of the day.

Datasonic juga memberi sumbangan kepada Tabung Harapan iaitu the government of the day. Duit itu pula perlulah untuk kerja-kerja CSR (corporate social responsibility) -suaramerdeka.com.my