Expired : 18.06.18

Salah siapa kerajaan rosak?

1. YA, salah saya dan salah kita semua. Ayuh buka minda dan buang semua kecenderungan parti dan warna politik masing-masing. Kita sedang berbicara tentang kerajaan kini dan sebelumnya, masing-masing dengan kelemahan dan ketirisan yang terlalu nyata.


2. Bukankah kita yang memilih ahli politik yang akhirnya bersetuju sesama mereka untuk membentuk kerajaan berdasarkan mandat yang diberikan?


Ini bermakna sebahagian pilihan kitalah yang silap. Ini bermakna pilihan ahli keluarga, rakan sekerja, jiran tetangga dan ahli masyarakat terdekat kita juga sebahagiannya silap. Dan ia memerlukan pembetulan.


3. Kita harus bermentaliti positif, berjiwa sensitif dan beraksi proaktif.


Perubahan harus bermula dari dalam diri kita sendiri.


Jangan hanya marahkan pemimpin politik yang rasuah jika keluar masuk harta kita pun ada yang syubhah (ragu-ragu).


Jangan hanya kesal dengan pemimpin pollitik yang menipu, jika dengan anak sendiri pun kita tak jujur selalu.


Jangan hanya kecam pemimpin politik yang tak berprestasi jika kita sendiri selalu lambat, tidak kemas dan sering terlupa sana sini


4. Menjadi baik seorang diri sahaja tidak memadai.


Kita harus berbakti dan mendidik manusia terdekat kepada agama, budi pekerti dan akhlak yang mulia serta membina jatidiri yang sempurna.


Hidup kita bukan untuk diri sendiri dan keluarga semata, sebaliknya untuk umat secara keseluruhannya.


5. Menjadi baik dan berbakti mentarbiah masyarakat sahaja tidak memadai.


Kita harus memahami sepak terajang politik dunia, agenda yahudi & kapitalis serta semua ancaman terhadap negara dan jati diri bangsa.


Kegagalan memahami perkara inilah antara sebab kenapa majoriti pemimpin politik kita jadi rosak.


6. Jangan jadi umpama anjing yang menyalak ke bukit (membuat sesuatu yang tidak akan membuahkan hasil).


Mengecam, komen dan meluahkan kemarahan di laman media sosial dan kedai-kedai kopi tidak berkesan walaupun kita akan puas.


Sebaliknya kita perlu bermula dengan perkara paling asas iaitu pembinaan sel asas kerajaan iaitu setiap warganegara itu sendiri.


Ia tugas yang berat, memenatkan dan panjang. Kita tidak akan puas, tapi kita buat perkara yang betul.


7. Setiap kali kita menangisi kerosakan yang berlaku kini, kita harus berfikir tentang solusi, alternatif dan pengganti.


Samada memperbaiki pemimpin politik yang rosak atau menawarkan diri sendiri untuk menggantikan mereka. Bersediakah kita?


Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Kluster Tarbiah ISMA


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.


The post Salah siapa kerajaan rosak? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.