Expired : 18.06.18

‘Saya hanya mahu dia minta maaf. Tiadakah rasa belas untuk saya?’

SELEPAS selama 11 bulan terlantar akibat menjadi mangsa langgar lari, Muhammad Nur Hafizam Azli, 16, tidak mahu menyimpan dendam.


Namun, jauh di sudut hati remaja malang itu, dia hanya mahu pelaku yang melanggarnya datang melawat dan mengungkap kata-kata maaf.


“Saya cuma nak dia datang tengok keadaan saya sekarang ini. Saya sakit terlantar, saya tak boleh nak buat semua benda sendiri, tak boleh nak bercakap, tak boleh nak bergerak sendiri,” katanya.


Hafizam menjadi mangsa langgar lari di Ipoh, pada 28 Ogos tahun lalu sehingga menyebabkan dia mengalami cacat kekal.


Menerusi perkongsiannya di Twitter yang tular sejak dua hari lalu, Hafizam mengundang simpati ramai apabila meluahkan hasrat supaya individu yang melanggarnya bersemuka dan meminta maaf.


“Bila dia dah datang tengok saya nanti, takkan dia langsung tiada rasa belas kasihan dekat saya, kan? Jadi sebab itu saya nak jumpa dia.


“Sekarang saya sudah sedar, 11 bulan saya terlantar.Saya nak orang yang langgar saya, datang minta maaf,” luah Hafizam.


Bekas pelajar sebuah Maahad Tahfiz di Parit itu berkata, sejak dari dia berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehinggalah ke hari ini, kelibat individu terbabit tidak kelihatan.


Menurutnya, setakat ini dia hanya mampu menggerakkan anggota tangan sebelah kanan saja, namun tidak berupaya untuk menulis kecuali menaip.


“Keluarga sudah pun membuat laporan polis mengenai nahas menimpa saya, namun belum ada perkembangan terbaru setakat ini,” katanya lagi.


Pada kejadian yang berlaku pada 28 Ogos 2018, Hafizam yang menunggang motosikal dilanggar sebuah kereta dipercayai jenis Mazda di pusingan ‘U’ berhampiran Klebang Restu, Ipoh.


The post ‘Saya hanya mahu dia minta maaf. Tiadakah rasa belas untuk saya?’ appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop