Expired : 18.06.18

‘Saya hanya mampu dengar mereka menjerit kuat’

DUA beradik yang terbunuh dalam kebakaran di Kampung Endah, Kuala Langat semalam menjerit meminta tolong sebelum suara semakin sayup dan tidak lagi kedengaran apabila api semakin marak.


Bapa saudara mangsa, Khamijas Ngainan berkata, dia cuba menyelamatkan Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan Nur Ain Sumayyah, 13, namun api terlalu marak dan hanya mampu mendengar dua beradik itu menjerit meminta pertolongan.


“Pada awalnya jeritan mereka kuat kedengaran, namun makin lama makin perlahan sehingga tiada lagi suara mereka,” kata Khamijas sebak menghimbau kejadian yang meragut nyawa dua anak saudaranya itu.


NUR Salsabila dan adiknya Nur Ain Sumayyah. Keduanya terbunuh dalam kebakaran di Kampung Endah, Banting awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Nur Salsabila dan Nur Ain Sumayyah tinggal berdua di dalam rumah terbabit sementara ibu bapanya keluar kerana menyediakan makanan untuk anggota bomba memadamkan kebakaran kilang kimia di Pelabuhan Klang malam tadi.


Khamijas berkata, dia yang tinggal berhadapan dengan kediaman sewa adiknya, Serihayati Ngainan, 48, melihat api sudah mula marak dan berlari untuk menyelamatkan nyawa dua anak saudaranya.


“Masa kejadian, saya dan isteri baru pulang dari berniaga di restoran kami di Kancong Darat dan sebaik tiba di rumah tiada apa yang berlaku.


“Namun apabila saya masuk saja dalam rumah, saya terlihat api sudah menjulang tinggi, saya dan isteri berlari ke rumah adik,” katanya dipetik dalam laporan Harian Metro.


Khamijas berkata, hatinya masih dihambat rasa terkilan kerana tidak dapat membantu kedua-dua anak saudaranya yang sudah dianggapnya seperti anak sendiri.


“Mereka biasa tinggal di rumah itu kerana ibu bapa mereka berniaga makanan di Hentian Rehat dan Rawat Pulau Indah.


“Kebetulan mereka dapat tempahan menyediakan makanan untuk bomba bertugas memadamkan kebakaran di kilang kimia di Pulau Indah,” katanya.



Sementara itu, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata, mayat pelajar tingkatan tiga dan satu itu terperangkap di dalam bilik tidur mereka ketika api sudah marak.


Hafisham berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada jam 2.48 pagi dan dua jentera bomba masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA bersama 17 anggota bergegas ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.


“Ketika sampai api sedang marak dan pasukan berjaya mengawal kebakaran dua minit kemudian. Api dipadamkan sepenuhnya selepas 10 minit,” katanya.


Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat dua adik beradik itu dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.


The post ‘Saya hanya mampu dengar mereka menjerit kuat’ appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop