Expired : 18.06.18

‘Saya harap jadi popular juga, penat hidup bergantung dengan mesin’

SEORANG anak muda yang juga pesakit buah pinggang menjadi perhatian gara-gara komennya di Twitter yang meruntun perasaan warganet.


Ia bermula apabila anak muda itu, Azwan Shah Azli Shah meninggalkan komen pada posting akaun Twitter Astro Awani yang mengulas berita pelakon Malaysia, Ebby Yus menerima penderma buah pinggang disebabkan popularitinya.



Tidak semena-mena komen itu mendapat perhatian ramai dan menyentuh emosi pengguna laman sosial tersebut apabila mendapat hampir 20,000 ulang kicau dan lebih 9,000 tanda suka.


Bagaimanapun, Azwan Shah berkata, tidak pernah terdetik sekalipun untuk dia menyindir mana-mana golongan popular dengan memberikan komen tersebut.


Setidak-tidaknya, katanya, ia adalah luahan sanubari pesakit buah pinggang yang mungkin ramai tidak mengetahui.


“Tujuan saya komen sebegitu sekadar luahan perasaan sahaja kerana memang biasanya kita lihat orang yang dikenali ramai lebih mudah mendapat perhatian.


“Jujur saya tiada niat untuk pertikaikan populariti Ebby Yus melalui komen itu,” katanya seperti dipetik portal mStar.


Azwan shah ketika menerima rawatan hemeodialisis

Menurut Azwan Shah, dia percaya sebenarnya wujud insan-insan mulia yang mahu menghulurkan bantuan tetapi dia berpandangan perkara sebegini tidak cukup dihebahkan kepada orang ramai.


“Selepas saya komen, tak sangka ada beberapa orang yang DM saya untuk menderma buah pinggang mereka dan saya akan rujuk dengan doktor dahulu berkaitan prosesnya,” ujar Azwan yang berasal dari Tumpat, Kelantan.


Azwan yang merupakan salah seorang pelajar jurusan TESL di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang dua minggu selepas memulakan pengajiannya pada September 2017.


“Saya mula menghidap kegagalan kedua-dua buah pinggang masa mula-mula masuk universiti.


“Setiap pelajar kena buat pemeriksaan kesihatan di pusat kesihatan UTM selepas dua minggu masuk belajar dan dari situ, doktor mula kesan penyakit yang saya alami.


“Jadi saya dihantar ke hospital Sultanah Aminah untuk buat ujian darah. Bila keputusan darah keluar selepas dua minggu, bacaan Creatinine pada tahap yang sangat tinggi dan memang tidak normal. Doktor kata kedua-dua pinggang saya gagal berfungsi,” katanya.


Mesin yang digunakan Azwan Shah untuk melakukan hemodialisis tiga kali seminggu.

Rentetan itu, katanya, hidupnya hanya bergantung dengan menelan ubat-ubatan yang banyak selama setahun sebelum dia membuat keputusan nekad memulakan hemodialisisdi UTM.


“Pada mulanya doktor sarankan saya pilih buat Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang memudahkan saya untuk buat dialisis sendiri di rumah.


“Saya lalui empat pembedahan untuk CAPD di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan tetapi akhirnya terpaksa dibatalkan kerana wayar tidak boleh digunakan pada badan saya dan mempunyai komplikasi,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.



Menurut Azwan, dari situ dia sedar jalan terbaik untuk dirinya menjalani kehidupan normal adalah dengan mendapatkan buah pinggang baharu yang sudah tentu diperolehi daripada penderma.


Azwan juga menghimbau kisah ketika dia bertanya kepada ahli keluarganya untuk menderma buah pinggang.


Namun apabila difikirkan semula keadaan kesihatan ibunya yang semakin berumur, abangnya yang masih bekerja dan usia adiknya yang masih muda dia terpaksa menangguhkan hasrat tersebut.


Dalam pada itu, rata-rata netizen memberi kata-kata semangat kepada Azwan Shah dan mendoakan yang terbaik buat dirinya.



“Semoga dipermudahkan suatu hari nanti dan keep strong,” komen salah seorang pengguna Twitter, @nrlizhrzk.


“Stay strong brother, semoga Allah kurangkan kesakitan itu,” tulis @ohdamnitsjoe.


“Allah uji sebab Allah sayang. Moga Allah ganjarkan syurga buat awak dan ibu serta dipermudahkan segala urusan,” komen @syfqhrazak.


The post ‘Saya harap jadi popular juga, penat hidup bergantung dengan mesin’ appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop