Expired : 18.06.18

“Saya Nyatakan Pandangan, Namun Orang Tuduh Saya Kuno,” – Jalil Hamid Beri Nasihat Buat Orang Seni, Minta Hormati Agama


Tidak ambil peduli andai ada yang menggelarkannya sebagai kuno, pelakon hebat Jalil Hamid menjelaskan, apa yang sudah termaktub dalam agama tidak harus dipersoalkan.


Jelasnya apa yang tertulis haram tetap haram dan lakonan tidak terkecuali.


Ulasnya lagi, terdapat banyak cara indah yang lain untuk menyampaikan penceritaan dan kisah cinta, namun bukan dengan bersentuhan lelaki perempuan.


“Saya selalu nyatakan pandangan namun orang menuduh saya kuno. Sebagai pelakon mengapa kita mesti meniru orang lain, mengapa perlu lelaki memegang perempuan sedangkan dia bukan mahram?


“Bersentuhan walau sekadar berlakon hukumnya haram. Kita yang berperanan membentuk masyarakat.


“Waktu saya mula-mula menceburi industri, ada yang mengatakan hiburan dan agama merupakan dua benda yang berbeza. Saya dikecam waktu itu apabila tidak bersetuju.


“Saya selalu menegur jika ada yang tidak kena dalam set lakonan, bukan mahu berdakwah namun mahu menanam nilai.


“Seperti cerita Dalam Lindungan Kaabah, pasangan bercinta disebalik papan, itu keindahan seni untuk disampaikan. Penceritaan dan seni yang cantik tidak perlu melanggar batas agama.


“Namun ramai yang sentap, kata mereka jika begitu mengapa masuk dunia lakonan. Ada juga yang bertanya mengapa saya tidak memegang anak dalam drama. Dia tetap bukan mahram saya,” katanya jujur.


Pelakon ini turut menjelaskan nilai yang dipaparkan di kaca televisyen akan mempengaruhi cara khalayak melihat orang seni.


Malah jelasnya, setiap pelakon harus bertanggungjawab terhadap apa yang dilakonkan.


“Saya malu apabila melihat pelakon sekarang bersentuhan bagai suami isteri. Orang akan menilai dan melihat pelakon tiada maruah.


“Nasihat saya buat orang seni, bertanggungjawablah kepada diri, keluarga, agama dan masyarakat,” katanya jujur.


Dalam perkembangan lain, pelawak ini muncul dalam program Stand Up Comedy Otai.


Program yang menjadi gelanggang kepada ‘orang lama’ dalam arena lawak beraksi itu akan disiarkan menerusi sebuah saluran berbayar, bermula 5 Disember lalu.


Selain Jalil Hamid, seramai 17 lagi artis bakal menjayakannya, termasuk AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi, Angeline Tan, Rama, Wan Maimunah, Imuda, Ebby Yus, Sathiya dan Sheila Mambo.


Norlida Ishak Shop