Expired : 18.06.18

"Saya Tambah Tertekan Bila Netizen Sentuh Isu Malam Pertama" - Selepas Video Nikah Tular... Ardell Aryana Akui Paranoid, Tak Keluar Rumah

Pelakon Ardell Aryana tampil memohon maaf selepas video pernikahan yang merakamkan tangannya menggigil ketika disarungkan cincin dengan suami, aktor Nadzmi Adhwa tular di laman sosial.

Jelas Ardell, dia dan Adhwa tidak berniat untuk melakukan sebarang drama. 
 
"Pertama kali saya minta maaf kalau video pernikahan kami tular sehingga ada yang membuat parodi dan ada juga yang menghina dengan mengatakan saya ini perempuan cacatlah, parkinson dan macam-macam lagi.

"Sebenarnya saya dan suami tidak berniat apa-apa untuk melakukan drama walaupun kami berdua pelakon.

"Bila momen suami saya cakap 'saya terima nikahnya' selepas lafaz akad nikah itu saya rasa semuanya sudah berubah," katanya.

BACA: ‘Teman Tapi Mesra’ Paling ‘Sweet!’– Ardell Aryana Menggigil, Menangis Ketika Nadzmi Adhwa Sarung Cincin

Penjelasan Ardell itu dibuat menerusi sebuah video di Instagram TV Mingguan Wanita.

Tambah Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, dia mendedahkan dirinya menghidap penyakit 'anxiety' dan kemurungan yang teruk.

"Saya ada 'anxiety' dan kemurungan yang teruk, jadi saya tak boleh berada dalam keadaan ramai orang.

"Kalau ikutkan hati, saya nak lari sebab sebelum majlis lagi sebab saya dah menggeletar.

"Saya rasa tak nak kahwin sebab saya takut dekat pelamin nanti saya penyakit saya itu datang menyerang," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ardell akui berasa tertekan sehinggakan dia mengambil keputusan untuk tidak keluar dari rumah selama beberapa hari.

"Saya lagi bertambah tertekan apabila ada netizen menyentuh isu malam pertama, mereka bertanya mengenai keadaan badan saya ketika itu.

"Disebabkan itu, saya tak keluar rumah untuk beberapa hari. Selepas dipujuk suami, dua hari lalu saya makan di Shah Alam.

"Tapi jadi paranoid apabila ada satu kumpulan remaja dalam kereta berhenti semata-mata nak rakam dan gelakkan kami.

"Ia sudah dikira seperti membuli. Maknanya, video yang tular itu memberi impak yang besar, bukan sahaja dikecam di laman sosial tapi di umum pun kena juga. Jadi, saya mohon henti buat parodi dan kecam," tambahnya lagi.

Terdahulu, Adhwa memohon agar netizen berhenti mengeluarkan kata-kata negatif terhadap video tular perkahwinan mereka.

BACA: “Jangan Gelar Ardell Aryana Minah Gigil, Perempuan Parkinson… Jangan Hina Isteri Saya” - Nadzmi Adhwa Perjelas Video Tular

Adhwa dan Ardell selamat melangsungkan perkahwinan mereka dengan sekali lafaz pada 1 September lalu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Al Mutaqqin Seri Kembangan, Ustaz Hafiza Hafiz dalam sebuah majlis serba sederhana.

Ardell dan Adhwa sudah mengenali antara satu dengan lain sejak lapan tahun lalu.


Norlida Ishak Shop