Expired : 18.06.18

Sayu lihat Agong sebak beri penghormatan akhir buat Almarhum Ayahanda

SUASANA sayu dan suram menyelubungi Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang ketika

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah memberikan penghormatan terakhir kepada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang mangkat, pagi semalam.


Walaupun kelihatan tenang, baginda Al-Sultan Abdullah tidak dapat menahan rasa sebak lalu mengalirkan air mata ketika menatap jenazah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah buat kali terakhir.


Turut dilihat Sultan Abdullah ditenangkan Raja Permaisuri Agong dan adik beradik Seri Paduka menyebabkan suasana sayu dan sedih.


AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditenangkan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas solat jenazah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. FOTO Bernama


Baginda kemudian dilihat bersalaman dengan kenaman dan hadirin yang hadir dan acapkali mengucapkan penghargaan atas kehadiran mereka.


Terdahulu, baginda berangkat tiba kira-kira jam 10.37 pagi diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.


Turut berkenan berangkat sama adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, anakanda-anakanda, adinda-adinda dan cucuanda-cucuanda Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.


Baginda menunaikan solat jenazah untuk Almarhum bersama kaum kerabat terdekat.


Selepas selesai solat jenazah, jenazah akan dinaikkan di pedati untuk ditarik sejauh 2.2 kilometer (km) ke Makam Diraja Pekan untuk dimakamkan selepas solat Zohor.


Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut tiba di Istana Abu Bakar pada pukul 11.05 pagi untuk penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah.


Sebanyak 88 das tembakan akan dilepaskan di perkarangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini oleh Pasukan 41 Rejimen Artileri DiRaja (RAD), Sungai Buloh, Selangor.


Tembakan meriam itu akan bermula sejurus jenazah diletakkan di atas pedati dan akan dilepaskan setiap 23 meter pergerakan pedati yang bermula dari Istana Sultan Abu Bakar hingga ke Makam Diraja Pekan, Pahang.


Jumlah 88 das tembakan itu adalah simbolik kepada usia baginda iaitu 88 tahun.


The post Sayu lihat Agong sebak beri penghormatan akhir buat Almarhum Ayahanda appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop