Expired : 18.06.18

Sebak Dengar Doa Perdana Menteri, Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan Hingga 14 April Depan!


Dengan situasi kian membimbangkan yang dialami sekarang, bacaan doa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kaca televisyen sekitar pukul 1.12 petang tadi benar-benar meruntun jiwa. Sebak, risau dan bimbang… semuanya bergabung menjadi satu andai pandemik Covid-19 terus meningkat saban hari di Malaysia.


Pada saat rakyat mula khuatir dengan peningkatan kes Covid-19, Tan Sri Muhyiddin hadir memberi kata-kata semangat dan tidak pernah lelah mengajak rakyat bersama-sama memerangi wabak ini. Merujuk kenyataan Tan Sri Muhyiddin sebentar tadi, memasuki hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini. Pun begitu, ingatan tegas turut disuarakan Perdana Menteri kepada rakyat untuk terus berada di rumah sepanjang tempoh ini supaya usaha kerajaan tidak menjadi sia-sia.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at
home. You follow my instruction. You know that this is good for you, your family and the people around you. Your awareness and sincerity in abiding by the rules imposed by the government during this Movement Control Order period is highly commendable. 




Saya tahu bukan mudah untuk saudara-saudari duduk diam-diam di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama. Pastinya banyak cabaran yang saudara-saudari hadapi pada waktu ini. Tiba-tiba gaya hidup kita berubah sekelip mata.


Tetapi saya lihat ramai yang kreatif. Saya tengok di Facebook, ada yang dah mula bersenam di rumah. Ada yang menggunakan skype untuk berhubung dengan rakan-rakan sekerja. Saya sendiri pun menggunakan face time untuk berbual dengan cucu saya. Maklumlah, mereka tak dapat berkunjung ke rumah Tok Ayah seperti biasa.


Ibu-ibu pun kerana ada banyak masa di rumah, mencuba pelbagai resipi masakan baharu untuk hidangan seisi keluarga. Tak kurang juga para bapa yang menggunakan peluang duduk di rumah untuk bersolat jemaah dengan isteri dan anak-anak.”



Memandangkan Covid-19 adalah wabak yang tidak pernah dihadapi sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan Kementerian Kesihatan kini sedang membuat persiapan menangani keadaan berkeaan dengan menyediakan 3,585 katil di 34 hospital seluruh negara khusus bagi menerima pesakit Covid-19. Selain meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala lebih besar termasuk melakukan mass testing di kawasan-kawasan berisiko tinggi.


“Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara-saudari lebih bersedia. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tinga minggu akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya. Please stay calm and don’t panic.


Selain itu tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya. Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah. Kita telah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa.”


Semoga seluruh rakyat Malaysia patuh dengan perintah yang dibuat kerajaan buat masa ini. Bak kata Tan Sri Muhyiddin, ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.’ Sama-samalah kita memerangi penularan wabak Covid-19.