Expired : 18.06.18

Sedia buka ruang buat profesional

KETIADAAN beberapa pemain senior dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mendatangkan kerisauan buat Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann, sebaliknya beliau bersedia membuka ruang buat pemain profesional.


Menurutnya, tumpuan tahun ini sudah pasti terarah kepada acara berpasukan seperti kelayakan dan saingan Piala Thomas.



"Kita akan cuba seimbangkan skuad dan mengharapkan pemain senior berkaliber. Selain pemain berpengalaman kita juga akan membawa pemain remaja berpotensi. Saya cuba untuk campur dan sesuaikan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) hari ini.


Ujarnya, dari segi pemerhatian keseluruhan mereka bakal memiliki skuad muda dan mengharapkan beberapa pemain yang sudah menonjol serta menduduki ranking tinggi. "Mereka sekarang masih mentah dan kurang pengalaman, jadi peluang penambahbaikan harus diberikan. Saya setuju ruang dan peluang perlu kepada pemain muda untuk beraksi. "Bagaimanapun, kita tidak terus takkan melupakan kemampuan pemain ada pengalaman dan kita cuba untuk seimbangkan dua faktor ini," kata Choong Hann.


Hari ini BAM menyingkirkan tujuh pemain termasuk perseorangan lelaki, Soong Joo Ven dan pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, sekali gus mengurangkan lagi jumlah tonggak senior dalam badan induk berkenaan.


Tindakan berkenaan mengundang persoalan sama ada menjelang kelayakan Piala Thomas nanti adakah pemain profesional akan diberi peluang untuk beraksi di kejohanan berbentuk berpasukan.


"Sebenarnya kita sedang mempersiapkan diri sebab sebelum ini kita ada membariskan pemain senior tapi dalam masa sama kita tidak mencuba pemain muda menyebabkan mereka menjadi lambat matang. Jadi kita perlu mengimbangi perkara ini," katanya.