Expired : 18.06.18

Sejam baca 68 pertuduhan kes pengubahan wang haram


KUALA LUMPUR, 2 Syaaban 1440H, Isnin – Ahli perniagaan, M G Gnanaraja sebelum ini didakwa menipu seorang pengarah urusan berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 68 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.

Gnanaraja, 38, sebelum ini bergelar ‘Datuk Seri’ namun telah ditarik balik gelarannya pada 13 Mac lalu, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, satu persatu secara bergilir-gilir oleh dua jurubahasa yang mengambil masa satu jam.

“Tak mengaku, yang Arif,” katanya ketika ditanya Rozina apakah pengakuannya terhadap pertuduhan-pertuduhan itu.

Sehubungan itu, mengikut pertuduhan pertama sehingga Ke-68, Gnanaraja didakwa telah menggunakan dan melupuskan wang berjumlah RM11.4 juta dari akaun bank CIMB Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd, adalah hasil daripada aktiviti haram melalui cek kepada dua organisasi, 26 buah syarikat, dan 10 individu.

Organisasi itu; adalah Kementerian Dalam Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, manakala syarikat pula antaranya, Mattew Ong Association, Mulia Motor Corporation Sdn Bhd, Digital Tourism Sdn Bhd, Desa Home Theatre Sdn Bhd, CK Films (M) Sdn Bhd, dan Zenith Consulting Services Sdn Bhd.

Selain itu, antara 10 individu itu pula ialah; Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee, Teh Eng Soon, S. Jeewanathan, K.Thiagu, K. Boohalan dan Kee Bee Sim.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di antara 28 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Sementara itu, kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah, atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan, atau RM5 juta mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta, cagaran sebuah hartanah bernilai RM825,000 milik keluarga mertua tertuduh di Cheras Business Centre dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Allan turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, untuk didengar dan dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi Gnanaraja, Rabu lalu, berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Gnanaraja bersetuju dengan tawaran jaminan yang ditetapkan pendakwaan dan berkata, pihaknya juga tidak membantah kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Justeru, Hakim Rozina membenarkan Gnanaraja diikat jamin RM50,000 beserta cagaran hartanah yang dikemukakan pendakwaan, dengan dua penjamin iaitu pemilik hartanah serta pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim itu juga membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 6 Mei di mahkamah itu.

Sebelum ini pada 3 April lalu, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lalu. – Bernama


The post Sejam baca 68 pertuduhan kes pengubahan wang haram appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop