Expired : 18.06.18

Sekolah vernakular: Apa pendirian Muafakat Nasional?

BANGI, 19 Jamadilakhir 1441H, Khamis – Sehingga kini rakyat belum lagi melihat ketegasan Muafakat Nasional – yang menggabungkan UMNO dan PAS – dalam isu sekolah vernakular dan usaha memperkasakan sistem pendidikan satu aliran.


Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam sahaja yang berani mencabar kedudukan sekolah vernakular supaya dimansuhkan di mahkamah, tanpa sokongan parti-parti politik Melayu yang besar.


Beliau berkata, keadaan itu jelas berbeza dengan NGO Cina dan India apabila mereka menerima sokongan kuat dari parti politik seperti MCA dan MIC dalam mempertahankan kedudukan sekolah vernakular.


“Kita lihat NGO-NGO Cina dan India disokong kuat oleh parti-parti politik mereka seperti MCA dan MIC di mahkamah dalam isu sekolah vernakular ini.


“Jadi, apa sebenarnya pendirian Muafakat Nasional dalam isu sekolah vernakular ini? Rakyat mahu tahu,” soalnya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas keputusan mahkamah membenarkan MCA campur tangan dalam kes saman bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular.


MCA, diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon dan 13 yang lain, dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mencelah dalam tuntutan mahkamah yang difailkan seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.


Sin Woon dalam kenyataan berkata, MCA adalah parti politik Cina pertama yang tampil mempertahankan hak dan kewujudkan sekolah vernakular melalui proses undang-undang sepatutnya.


Mengkritik parti perkauman itu, Haji Aminuddin menyifatkan tindak-tanduk MCA tidak ubah seperti DAP.


Beliau berkata, parti itu kononnya bercakap mengenai perpaduan dan integrasi kaum, tetapi sebenarnya bermati-matian mempertahankan sekolah vernakular.


“Banyak lagi isu yang MCA perjuangkan yang menampakkan sikap sebenar mereka terhadap integrasi dan perpaduan kaum. Ungkapan-ungkapan yang mengatakan bahawa mereka mahu bersatu-padu dan hidup harmoni hanyalah ‘lips service’ bagi mengaut keuntugan dan survival politiknya sahaja.


“Kenapa MCA tolak sistem sekolah satu aliran? Kenapa MCA tidak mahukan sekolah wawasan? Ini semua adalah usaha untuk mencapai integrasi dan perpaduan kaum tetapi mereka tolak. Jadi, politik apa yang MCA nak bawa dan mesej apa yang mereka mahu sampaikan kepada rakyat?


“Kita lihat MCA tidak berusaha membina jambatan silaturrahim antara kaum tetapi tindakan mempertahankan sekolah vernakular ini hanya akan menjarakkan terus usaha murni kerajaan untuk mencapai integrasi antara kaum,” katanya.


The post Sekolah vernakular: Apa pendirian Muafakat Nasional? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.