Expired : 18.06.18

Sekuel Selepas 24 Tahun, Kisah Pejuang MMA, Trilogi 'Rock' Bakal Ke Layar Perak

Tahun baru 2019 pastinya dinantikan semua peminat filem tanah air yang tertanya-tanya apakah filem tempatan yang bakal menjengah pawagam pada tahun ini?

Ada yang mungkin perasan filem baharu yang bakal muncul selepas melihat foto penggambaran mahupun maklumat filem berkenaan yang dikongsi menerusi media sosial.

Berikut Astro Gempak senaraikan 10 filem baharu yang bakal menemui penonton pada tahun ini:

1. Felina The Movie

Tidak banyak maklumat mengenai filem arahan Sandosh Kesavan ini. Menerusi poster filem itu yang dikongsi menerusi Twitter menunjukkan pelakon utama filem ini dibintangi Raja Ilya.

Ia turut dibantu beberapa pelakon lain antaranya Zaidi Omar, Shafiq Jamil dan Nur Qistina Raisah. Ia mengisahkan penculikan kanak-kanak yang berlaku di negara ini dan ada juga elemen hantu diselitkan dalam filem ini.

Bagi peminat filem seram mahupun suspen thriller, filem ini boleh dijadikan sebagai pilihan untuk tontonan awal tahun ini. 

Dalam satu video yang dikongsi menerusi akaun Twitter filem ini, @felinathemovie, Raja Ilya memberitahu mereka diserang babi hutan ketika menjalani penggambaran filem tersebut di dalam sebuah rumah.

Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 17 Januari ini.

2. XX Ray III 

Melihat judul filem ini, sudah tentu peminat teringat pada versi asal filem arahan Aziz M Osman yang pernah ditayangkan pada tahun 1992 yang membawa genre sains fiksyen.

Apa yang lebih mengujakan dalam sekuel kedua filem ini, XX Ray II pada tahun 1995 menyaksikan penonton berpeluang mengembara dan melihat semula 'Hang Tuah' lakonan Datuk Jalaluddin Hassan manakala Allahyarham Azmil Mustapha sebagai Sultan Mansur Shah.

Cerita mengenai sekuel terbaru yang ketiga pula sudah diperkatakan sejak 2 tahun lalu. Dalam laporan Berita Harian, Aziz memberitahu filem ini tampil dengan elemen komedi dan pengembaraan.

Aziz turut berkongsi trailer filem ini menerusi Instagramnya, @azizmosman pada 20 Disember lalu.

Filem ketiga selepas 24 tahun ini menampilkan Izzue Islam bersama Nonny Nadirah sebagai pelakon utama yang membelanjakan kos sebanyak RM2.5 juta. Ia sepatutnya ditayangkan pada Aidilfitri tahun lalu tetapi akhirnya menemui penonton pada 24 Januari ini. 
 
3. Bella dan Jamie

Lebih dikenali sebagai pelakon, Liyana Jasmay mengorak langkah ke hadapan dalam karier seni dengan tampil menerbitkan filem pertamanya berjudul Bella dan Jamie. 

Meskipun filem ini didukung pengarah muda, Fairul Nizam Abiah tapi ia mempertaruhkan pelakon berpengalaman untuk membintangi filem ini seperti Juliana Evans, Izzue Islam, Dynas Mokhtar dan Khir Rahman.

Dalam laporan Harian Metro sebelum ini, Liyana memberitahu dia membawa karya yang memenuhi citrasa golongan remaja.

Filem ini disifatkan berskala kecil dengan mengetengahkan komedi ringan dengan kisah yang dekat dengan jiwa penonton.

Jika melihat pada judulnya, penonton boleh menjangkakan filem ini membawa kisah persahabatan dua individu yang menampilkan Juliana dan Izzue sebagai pelakon utama. 

Filem ini akan berada di pawagam pada 31 Januari ini.

4. Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal

Jenama Upin & Ipin memang cukup kuat pada penonton cilik menerusi siri kartun sehingga penerbitan filem pertama, Geng Pengembaraan Bermula pada tahun 2009.

Filem sekuel, Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! pula yang pernah ditayangkan pada tahun 2016 berjaya mencatat kutipan sebanyak RM4.89 juta.

Pastinya, sekuel filem baharu kali ini dinantikan ramai peminat kanak-kanak.
 



Kali ini ia mengisahkan dua watak utama ini iaitu Upin dan Ipin bersama rakan-rakannya terperangkap dalam keris mistik yang dijumpai dalam bilik stor Tok Dalang. Mereka mengembara sehingga ke dunia lain lalu bertemu dengan watak popular dalam hikayat cerita Melayu seperti Mat Jenin dan Belalang.

Filem ini juga menampilkan Astro sebagai rakan media eksklusif akan ditayangkan pada 21 Mac depan.

5. Bikers Kental 2 

Jenama filem ini boleh dilabel gah kerana ia bukan saja muncul sebagai filem tapi turut dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Taruhan Dato Awie sebagai hero tidak kira menerusi filem dan teater menjadi tarikan pada peminat motosikal untuk pergi menonton.

Dalam satu laporan Utusan Malaysia sebelum ini, Awie ada menyatakan kisah kehidupan penunggang motosikal berkuasa besar dalam filem ini menaikkan moral setiap penunggang yang membuatkan beliau sendiri teruja untuk terbabit sama berlakon dalam filem ini.

Pelakon popular, Zizan Razak yang juga berlakon dalam filem ini berkongsi gambar-gambarnya di Intagramnya, @zizanrazak869 ketika menjalani penggambaran filem ini tiga tahun lalu.

Sekuel arahan Helmi Yusof dijangka tayangan pada Mac tahun ini.

6. Filem tiada tajuk 

Penyanyi popular, Mawi mengambil langkah berani apabila bukan saja tampil menerbitkan filem sulungnya tapi bertindak sebagai pengarah filemnya sendiri.

Menampilkan gandingan pelakon Hazama, Along Cham dan Joey Daud sebagai pelakon utama filem berkonsep komedi Islamik ini, ramai peminat dan penonton tertanya-tanya mengapa Mawi masih belum mempunyai tajuk sesuai untuk filem ini.

Mawi yang banyak berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang penggambaran filem ini menerusi Instagramnya, @cahayaasmawi mengharapkan penonton menyaksikan filemnya ini terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komen.

Sebagaimana pengalaman Mawi ketika menempuh pelbagai dugaan sebelum dan selepas menjadi juara Akademi Fantasia 3, dia juga dikecam netizen di media sosial gara-gara filem baharunya ini. 

Filem ini yang masih dalam proses pascaproduksi ini dijangka tayangan pada April pada tahun ini.  

7. Sangkar 

Kehebatan pengarah Kabir Bhatia berkarya dalam drama bersiri mahupun filem sememangnya memberikan sesuatu impak pada penonton.

Seperti mana drama bersiri popular, Nur Kasih yang kemudian dibawa ke layar perak, Nur Kasih The Movie, Bisik Pada Langit dan Pulang, penonton juga menjangkakan hasil filem terbarunya kali ini berjudul Sangkar suatu yang luar biasa.

Salah seorang pelakon filem ini, Zul Ariffin berkongsi pengalamannya berlakon filem aksi ini yang disifatnya boleh tarik perhatian ramai untuk menceburi sukan MMA.

Dia juga mengharapkan filem ini meraih sambutan apabila tayangan pada tahun ini tanpa digambarkan mahu menonjolkan aspek gengsterime dan jenayah.

Selain Zul, filem ini juga menampilkan gandingan pelakon Remy Ishak bersama Mira Filzah dan Arman Graseka. Filem ini dijangka tayangan pada Mei tahun ini.

8. Rock 4 

Sekuel terbaru, Rock 4 menjadi satu lagi naskhah yang dirindui ramai peminat tempatan khususnya peminat karya Mamat Khalid.

Selepas kejayaan filem Hantu Kak Limah (HKL) yang mencatat kutipan pecah panggung pada tahun lalu, 'saham' Mamat terus melonjak dan filem seterusnya, Rock 4 menjadi pertaruhan. 

Filem ini yang turut diberi dua judul berbeza iaitu Rock 4: Quo Vadis Komer dan Rock 4: Rockers Never Dai. Menariknya, filem ini adalah trilogi pada jenama filem Rock sebelum ini termasuk Rock (2005) dan Rock OO (2013).

Jika sekuel sebelum ini, Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jalan (2016) mampu meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM5.3 juta, mungkinkah sekuel terbaharu ini mencatat rekod yang sama atau lebih baik?

Apa yang pasti, filem terbaharu ini masih berpaksikan pada genre komedi yang menjadi sajian terbaik Mamat untuk penonton menjelang tayangan yang dijangka pada penghujung tahun ini. 

9. Misteri Dilaila 

Bagi peminat Syafiq Yusof, buah tangan terbaharu pengarah muda berbakat besar ini sentiasa dinantikan ramai.

Anak bongsu kepada produser terkenal, Datuk Yusof Haslam ini pernah meraih kutipan pecah panggung menerusi filem sekuel Abang Long Fadil 2 yang ditayangkan pada 2017 yang meraih kutipan RM18.15 juta.

Jika diteliti daripada filem-filem arahanya terdahulu termasuk SAM (Saya Amat Mencintaimu) dan Desolasi dan KL Special Force, Syafiq seorang pengarah yang berani untuk mencuba sesuatu genre yang baru termasuk kisah seram dalam filem terbaharunya, Misteri Dilaila.

Filem yang membawa genre psikologi thriller ini menampilkan pelakon Zul Arifin bersama penyanyi popular, Elizabeth Tan sebagai pendukung utama.

Syafiq memuat naik poster rasmi filem ini di Instagramnya, @fiq000s pada 10 Disember lalu manakala trailer selama 31 saat di saluran YouTube.

10. Mencari Rahmat 

Pengarah filem ini, Al Jafree Md Yusop sebelum ini mengambil pendekatan menayangkan filemnya di beberapa lokasi tertentu. 

Gandingan pelakon berpengalaman seperti Namron, Amerul Affendi, Nadia Aqilah dan Sharifah Amani menjadi naskhah filem ini suatu yang berbeza untuk dipertontonkan.

Ada penonton sudah menyaksikan filem ini sejak tahun lalu tapi masih ramai yang mencari peluang untuk menyaksikannya. 

Akhirnya filem ini dikatakan akan menjengah pawagam pada tahun ini tidak lama lagi.

Ujar Al Jafree dalam status terkini menerusi Twitternya, @jafreeyusop, filem arahan pertamanya ini menerima sambutan yang sangat bagus dan akan menemui penonton pada tahun ini.

Ada penonton mengatakan ini adalah filem terbaik pada tahun 2018 meskipun ia baru ke pawagam pada tahun ini. Bila tarikh tayangannya, sama-sama kita tunggu pengumuman rasminya nanti.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
 


Norlida Ishak Shop