Expired : 18.06.18

Selepas ditegur Tun M, SPR kata boleh bincang

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedia berbincang dengan Pakatan Harapan, susulan dakwaan ketidakadilan dalam peraturan baru yang ditetapkan berhubung isu penggunaan aset kerajaan dan kempen waktu pejabat oleh menteri kabinet pada pilihan raya.


Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak selagi ia boleh membantu menambah baik proses perjalanan pilihan raya.


“SPR bersedia untuk berbincang dengan Pakatan Harapan dan mana-mana pihak lain untuk mendapatkan apa-apa pandangan dan maklum balas untuk menambah baik proses-proses perjalanan pilihan raya.


“Tindakan ini adalah selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.


“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti,” kata Azhar dalam kenyataannya, hari ini.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati berhubung langkah SPR melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.


Menurut Mahathir, keputusan itu akan memberi kesan kepada pentadbiran PH selain seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.


Mahathir juga berkata ketika PRK Cameron Highlands tahun lalu beliau juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan walaupun menjadi perdana menteri.


Susulan daripada itu, Bersih semalam mencadangkan agar menteri dan kakitangan awam yang menjadi pemimpin parti politik supaya mengambil cuti sekiranya ingin berkempen dalam apa juga pilihan raya ketika hari bekerja.


Azhar sebelum ini berkata menjadi kesalahan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 sekiranya mana-mana pemimpin didapati menggunakan aset kerajaan untuk turun berkempen.


The post Selepas ditegur Tun M, SPR kata boleh bincang appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop