Expired : 18.06.18

Seleweng dana TH: Siasatan perlu telus tanpa campur tangan politik


Oleh Athirah Huda Zalhe


BANGI, 24 Rabiulawal 1440H, Ahad – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana mendesak supaya siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan dana yang disalurkan untuk kegiatan politik, membabitkan Yayasan Tabung Haji (YTH).


Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, Isma menyokong supaya tindakan tegas diambil ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam penyelewengan itu.


Bagaimanapun, beliau menggesa supaya siasatan berkenaan dijalankan dengan telus dan adil tanpa sebarang campur tangan politik.


“Dalam hal ini, pihak berwajib mestilah tidak memilih untuk dikenakan pada musuh politik, tetapi kepada sesiapa sahaja yang bersalah.


“Campur tangan politik semestinya tidak dibenarkan. Kita menyeru kerajaan supaya benar-benar mengamalkan rule of law,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.


Dua hari lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; dan Datuk Seri Johan Abdullah.


Laporan polis juga dibuat terhadap Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid; dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.


Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 di mana dana berjumlah lebih RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.


Pemegang amanah YTH pada masa itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi Azuan dan Rozaida.


YTH ditubuhkan pada 2016 untuk melaksanakan, antara lain, bantuan kemanusiaan serta menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, miskin dan yang memerlukan. Tabung Haji menyumbang RM7 juta kepada program itu.


Laporan kedua pula dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material membabitkan penjualan saham Tabung Haji pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM3.7 bilion).


Aminuddin berkata, Isma akan terus menentang apa sahaja bentuk rasuah dan salah laku dalam tadbir urus, terutama institusi agama seperti Tabung Haji.


“TH adalah tempat sensitif di mana semua pendeposit adalah orang Islam. Jadi, trust deficit ini mesti dipulihkan segera, bukan hanya sekadar mengambil tindakan kepada yang bersalah.


“Tetapi, pelantikan kepimpinan baharu juga mesti mempunyai integriti, dan bukan daripada kalangan ahli politik,” katanya.


The post Seleweng dana TH: Siasatan perlu telus tanpa campur tangan politik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop