Expired : 18.06.18

Semoga Allah memberkati Pogba...

PAUL Pogba mendedahkan dia 'mempersoalkan banyak perkara terhadap dirinya' sebelum kembali kepada Islam dan akhirnya mendapat ‘ketenteraman jiwa'.


Bintang Manchester United itu yang menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah baru baru ini mengakui tidak dibesarkan secara Islam biarpun ibunya patuh kepada ajaran Islam.


Semuanya berubah selepas dia melalui saat sukar dan Pogba mengambil keputusan untuk mendalami agama dan mengikut jejak beberapa rakannya kembali kepada Islam.


Pogba bersama Zouma serta beberapa rakan di Tanah Suci Makkah. FOTO Instagram Paul Pogba



Pemain tengah itu yang masih menjadi sasaran perpindahan untuk Real Madrid pada musim panas ini menyifatkan keputusan diambil adalah terbaik menjadikannya insan lebih baik.


Ditanya apa ertinya menjadi seorang Islam kepada dirinya, pemain United itu memberitahu podcast The Times (new Life Times): “Ia segala-galanya. Ia membuatkan saya bersyukur terhadap segala-galanya.


“Ia merubah diri saya dan menyedari hakikat kehidupan. Saya rasa, mungkin ia menyebabkan jiwa dan dalaman berasa lebih tenteram”.


“Ia perubahan yang bagus terhadap kehidupan saya kerana saya tidak dilahirkan sebagai Islam biarpun ibu saya Islam.


“Saya dibesarkan seperti itu dan hanya menghormati setiap orang”.


“Islam bukan imej keganasan seperti digambarkan oleh sesetengah pihak. Apa kita lihat dalam media adalah perkara berbeza. Islam adalah sesuatu yang indah.


“Anda perlu mengetahuinya. Setiap orang dapat menemuinya akan berada dirinya berhubungan dengan Islam.'


Selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan melalui musim mengecewakan bersama United, Pogba bersama pemain pertahanan Chelsea, Kurt Zouma menunaikan umrah, bulan lalu.


Ditanya lagi mengapa dia memilih Islam pada usia 20-an, Pogba, yang tidak mengambil minuman keras dan mempunyai seorang anak perempuan bersama teman wanita, Maria Salaues, berkata: “Ia hadir kerana saya mempunyai ramai kawan beragama Islam. Kami sering berbual.


“Saya banyak mempersoalkan diri saya terhadap banyak perkara dan dari situ saya membuat kajian.


“Saya solat bersama rakan-rakan saya dan saya berasa sesuatu yang berbeza. Saya rasa sangat bagus.


“Sejak itu, saya meneruskannya. Anda perlu solat lima kali sehari, itulah tiang agama. Ia sesuatu yang anda lakukan”.


Norlida Ishak Shop