v Sendiri kena, gadis serik kongsi gambar di media sosial
Expired : 18.06.18

Sendiri kena, gadis serik kongsi gambar di media sosial

Mangsa menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu kerap memuat naik gambar di media sosial. — Foto AFP
Mangsa menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu kerap memuat naik gambar di media sosial. — Foto AFP

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Seorang warga maya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu kerap memuat naik gambar di media sosial.

Menggunakan nama Vouzdiel di Twitter, beliau berkata perkara itu bagi mengelak diserang penyakit buatan orang.

Ini kerana katanya, beliau sebelum ini jatuh sakit secara tiba-tiba, sehingga terdapat tanda merah dari kaki hingga ke tangan.

“Esoknya, mak saya bawa jumpa ustazah. Dia cakap kurangkan muat naik gambar ke apa, banyakkan baca Quran dan solat jangan tinggal,” coretnya semalam.

“Dan dia sebut pasal penyakit Ain. Penyakit yang bila mana orang pandang kita tetapi penuh kebencian. Penyakit Ain ni susah dirawat.

“Bila kita muat naik gambar kita ke apa, kita tak tahu ada orang yang dengki. Ada sifat benci ke. Kita tak tahu. Bila terkena dekat diri sendiri baru saya faham.”

Sehubungan itu, beliau memohon semua pengguna agar berhati-hati di media sosial.

Namun katanya, terpulang kepada individu mahu mendengar nasihatnya atau tidak, tetapi diingatkan lebih “bersederhana”.

Hantaran Vouzdiel dikongsi 27,600 kali, malah memperoleh lebih 23,000 tanda “suka”.

Majoriti pengguna internet turut bersetuju dengan pendapatnya.