Expired : 18.06.18

Sepertiga Artikel Di Bloomberg Dihasilkan Dengan Bantuan Kecerdasan Buatan

Adakah kerjaya anda selamat dari diambil alih oleh robot ataupun kecerdasan buatan? Jika ya kami ucapkan tahniah kerana kerjaya sebagai seorang penulis seperti kami mungkin akan pupus dalam masa terdekat. Menurut laporan The New York Times, hampir sepertiga artikel di Bloomberg telah dihasilkan dengan bantuan kecerdasan buatan.


Sistem yang diberi nama Cyborg ini memproses laporan kewangan sebelum menghasilkan artikel mengenainya pada kadar yang pantas. Ia cukup pintar untuk mencari data yang paling relevan untuk dilaporkan. Sebelum ini ia dilakukan oleh manusia tetapi proses menganalisa data dan membaca laporan kewangan bukan sahaja mengambil masa tetapi amat membosankan. Cyborg digunakan bagi membebaskan wartawan manusia dari menulis artikel-artikel yang meremehkan ini dan bukan untuk membuatkan mereka kehilangan kerja.


Selain Bloomberg The Washington Post, Associated Press dan The Los Angeles Times turut telah berjinak-jinak dengan e-wartawan untuk menulis kandungan. Pada acara sukan Olimpik 2016, The Washington Post menggunakan perisian Heliograf untuk menulis laporan pendek untuk setiap acara yang dipertandingkan. Wartawan manusia bebas menulis artikel yang lebih mendalam dan bukan sekadar memproses data.


Buat masa ini penggunaan kecerdasan buatan sebagai pengganti penulis masih belum digunakan dengan meluas. Antara sebab utamanya ialah kos yang sebenarnya lebih tinggi berbanding kakitangan manusia. Seperkara lagi perisian tidak dapat menghasilkan karya yang “bercakap” dengan pembaca kerana tiada sentuhan peribadi. Tetapi jangan terkejut jika dalam masa terdekat berita yang anda baca di Amanz turut akan ditulis oleh perisian. Tiada lagi typo dan tiada lagi tuduhan artikel ditulis dengan bias penulis.


Norlida Ishak Shop