Expired : 18.06.18

Seram Komedi Santai! – Ini 4 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton Filem Busut Bonang




Azwa Rahman



Hiburan


Seram Komedi Santai! – Ini 4 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton Filem Busut Bonang
Filem seram menjadi antara pilihan kegemaran ramai namun bagaimana pula dengan hantu komedi?
 
Naskah terbaru hasil garapan sutradara Khalid Nazri, Busut Bonang antara filem yang boleh buat anda ketawa sakit perut namun pada masa yang sama menutup mata.


 
Berkesempatan menonton filem ini pada majlis tayangan perdananya  pada Selasa, Gempak senaraikan mengapa anda perlu menonton Busut Bonang.

1. Jalan cerita
 
Jalan cerita filem ini ringkas, tidak terlalu terbelit dan tiada plot twist yang boleh buat anda keliru di akhir cerita. Kisahnya berpaksikan sebuah busut yang menapak di sebuah kampung yang menghantui masyarakat kampung dari generasi ke generasi.
 
Mengambil elemen sebenar sebuah kampung Melayu, filem ini sangat menghiburkan disamping memberikan pengajaran.
 
Mungkin pada awalnya anda akan tertanya adakah ini filem sama seperti karya seram komedi pengarah Mamat Khalid, namun Busut Bonang mampu berdiri sendiri dengan elemem-elemen yang segar dan pasti akan buat anda pecah perut.
 
Biarpun dilabel sebagai P13, filem ini sangat sesuai ditonton oleh seisi keluarga kerana lawaknya yang bersahaja.

2. Barisan pelakon  

Mengetengahkan Nadzmi Adhwa dan pelakon baru Jasper Supayah sebagai pelakon utama, biarpun nama mereka tidaklah terlalu kuat, tetapi mereka dibantu dengan watak-watak yang sampingan yang sangat menghiburkan.
 
Peranan yang dimainkan oleh aktor Along Ezendy, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri dan tidak dilupakan Ropie sangat seimbang dan lengkap membuatkan penonton terhibur.


 
Kredit perlu diberikan kepada setiap bait-bait lawak bersahaja yang disampaikan tanpa nampak mereka terlalu mencuba.

3. Faktor X
 
Meletakkan genre komedi seram boleh membuatkan filem ini senang mendapat perhatian ramai.
 
Skrip yang dihasilkan oleh Siti Jasmina dan Aloy Paradoks antara yang boleh dipuji kerana lawaknya yang tidak disangka-sangka.
 
Ditambah pula mengangkat alunan muzik gamelan serta peribahasa-peribahasa melayu yang jarang kita dengar, Busut Bonang boleh mengajar orang ramai disamping menghiburkan.


 
Tanpa memerlukan sebarang lagu runut bunyi untuk tujuan promosi, filem ini bergantung sepenuhnya pada kekuatan skrip dan jalan cerita.

4. Lokasi penggambaran  

Menjalani penggambaran di Ipoh dan Kuala Kangsar, Perak, filem ini memaparkan beberapa tempat yang cukup menarik.
 
Dengan mengetengahkan elemen kampung, sebuah busut berhantu tidak mematahkan semangat penonton untuk menikmati panorama indah jambatan Victoria, jambatan Sultan Iskandar, Sungai Perak serta Pekan Lama Ipoh.
 
Namun, tahukah anda Kuala Kangsar merupakan tempat yang paling banyak busut?
 
Filem ini mengisahkan kejadian seram di kampung Bonang yang gempar dengan hantu arwah Cikgu Hassan (Ropie) yang berkeliaran.
 
Lutfy (Nadzmi Adhwa) bergabung bersama Joey (Along Eyzendy) daripada program ‘Merungkai Misteri’ datang ke kampung tersebut untuk menyelesaikan kekacauan yang berpunca daripada sebuah busut ‘bernyawa’.
 
Busut Bonang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Disember ini.
 
 


Norlida Ishak Shop