Expired : 18.06.18

Seri dah cukup baik : Karim Pin

BEKAS pemain sayap kebangsaan, Karim Pin yakin pemain Harimau Malaya mampu memberi cabaran sengit ke atas pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.


Baginya, ranking bukan ukuran sebenar kekuatan lawan namun yang lebih penting siapa yang lebih baik pada tempoh 90 minit aksi sebenar bakal dinobatkan sebagai pemenang.


Malah, dia menganggap perlawanan terbabit adalah kesempatan terbaik untuk pemain mencuri mata berharga selepas kejayaan cemerlang menewaskan Indonesia di Jakarta, minggu lalu.


"Ia berikutan perlawanan di laman sendiri mampu mengukuhkan keyakinan pemain untuk beraksi dengan komitmen tinggi sekali gus menafikan kecemerlangan skuad ranking ke 65 dunia terbabit.


“Di atas kertas memang pelawat memiliki barisan pemain yang istimewa termasuk kemahiran, fizikal dan pengalaman namun ukuran terpenting bagaimana untuk kita menanganinya.


"Apapun pasukan negara yang memiliki tempoh permainan yang sama dengan pelawat harus bijak untuk menggunakan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri," katanya.


Bekas pemain lincah yang pernah mewakili Kedah, Perak, Selangor dan Melaka itu juga yakin dengan kemampuan pemain negara di bawah kendalian jurulatih, Tan Cheng Hoe.


Menurutnya, apa yang penting pemain perlu kembali kepada asas bola sepak iaitu tidak melakukan kesilapan sama ada dari segi hantaran dan pergerakan, selain mengelak memberi ruang kepada lawan melakukan percubaan.


Beliau berkata, jika situasi terbabit mampu dipersembahkan tidak mustahil sekurang-kurangnya satu mata berjaya diraih.


Sehubungan itu, dia juga mengharapkan pemain mampu untuk bertindak lebih agresif dalam misi mengejutkan lawan yang tidak mustahil dilakukan dalam bola sepak.


Karim yang kini masih aktif bermain bola sepak dengan rakan veteran di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur juga yakin pemain memiliki semangat juang tinggi selepas kemenangan berdepan Garuda.


Justeru, dia yang pernah membantu Malaysia menewaskan Arab Saudi 3-1 pada Kelayakan Olimpik Kumpulan 3 Asia pada 10 Oktober 1983 di Stadium Merdeka turut mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya malam esok.


Norlida Ishak Shop