Expired : 18.06.18

Serie A buka tirai 20 Jun

SERIE A Itali diberi lampu hijau untuk kembali bersambung pada 20 Jun selepas berehat tiga bulan susulan pandemik koronavirus.


Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora berkata, Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik (CTS) kerajaan bersetuju dengan protokol kesihatan yang disediakan ketua-ketua bola sepak Itali.


"Itali kembali memulakan kehidupan seperti biasa dan bola sepak juga perlu berbuat demikian," kata Spadafora.



"Persekutuan meyakinkan saya dengan Pelan B dan Pelan C. Berdasarkan beberapa pertimbangan, kejohanan boleh bersambung pada 20 Jun."


Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina memberitahu menteri ketika sidang video, sistem playoff mengambil alih jika kejohanan tergendala semula manakala carta liga sedia ada akan diambil kira.


"Perbicangan kami sangat positif," kata Spadafora. "Sejak awal lagi, saya tekankan liga boleh disambung semula apabila semua langkah keselamatan dipatuhi."


Tiada perlawanan liga utama di Itali sejak Sassuolo menewaskan Brescia 3-0 pada 9 Mac lalu.


Penyambungan liga Itali itu diumumkan sejurus selepas Liga Perdana Inggeris mengesahkan akan kembali membuka tirai pada 17 Jun.