Expired : 18.06.18

“Seringgit Pun Bermakna” Zara Zya Rayu Peminat Bantu Petugas & Frontliners COVID-19


Hari demi hari, setiap daripada kita terus menghitung hari dan berdoa supaya keadaan serangan virus COVID-19 dapat dihapuskan. Rayuan demi rayuan telah dibuat untuk seluruh rakyat Malaysia supaya terus duduk di rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Kita jaga diri kita untuk semua.


Dalam keadaan kita berada di rumah, wira-wira kita sedang berjuang di luar. Berani mempertaruhkan nyawa diri untuk menyelamatkan insan lain. Pengorbanan mereka amat dihargai dan tidak terbalas oleh kita semua, lebih-lebih lagi petugas barisan depan yang berkhidmat untuk keselamatan dan kesihatan masyarakat.


Dalam usaha membantu meringankan beban semua rakyat dalam mengharungi keadaan ini, pelakon terkenal Zara Zya tampil melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas.


“Projek Zara Prihatin ini bernaung di bawah PRIHATIN Tanpa Sempadan, sebuah pertubuhan NGO yang bekerjasama rapat dengan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) & Briged Kesenian APM.


Kami mengambil inisiatif untuk membantu sukarelawan dan petugas yang menjadi front liners dalam menghadapi pandemik COVID-19. Mereka bertungkus-lumus mengawal keadaan dalam memastikan semuanya terkawal tanpa menghiraukan risiko dan bahaya yang terpaksa dihadapi.




Melalui Projek Zara Prihatin ini, Zara mengajak peminat untuk sama-sama memberi sumbangan serendah RM1.00 bagi membeli barang keperluan asas iaitu Personal Protection Equipment (PPE) seperti mask serta sanitizer kepada petugas dan sukarelawan yang ketika mereka menjalankan misi mengawal wabak menular,” jelas Zara.


Zara juga berkongsi rasa terkilannya terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dalam usaha membantu menghapuskan virus ini, “Zara rasa sedih dengan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab, tergamaknya anda jika tak mahu tampil ke depan, tak nak mengaku keadaan sebenar.



Sampaikan orang lain pula jadi mangsa keadaan. Sedih sangat dengan kedegilan manusia yang langgar arahan kerajaan, siap buat main-main lagi. Benda ni bukan remeh, ia serius sehinggakan kita pun tidak tahu masa depan kita.


Tolonglah jaga diri sendiri, jangan pentingkan diri. Sentiasa jaga kebersihan, pakai mask, pakai hand sanitizer. Apa pun keadaan kita sekarang ni, kita kena bersatu untuk sama-sama hindari virus COVID-19 ni. Doakan supaya keajaiban berlaku… Aamin.”


InsyaAllah, semoga usaha yang dilaksanakan oleh Zara Zya dapat membantu meringankan beban wirawan dan wirawati negara kita. Marilah kita sama-sama tunjukkan sokongan hanya dengan menderma RM1.00 bagi membantu misi prihatin COVID-19. Info selanjutnya boleh diperoleh melalui Instagram @zaraprihatin @prihatin4u. Kiffy Razak