Expired : 18.06.18

Setahun PH Gagal: Memanglah Tak Perlu ‘Berkokok’ Sebab Tak Ada Apa Yang Boleh Dibanggakan

LIPIS, 10 Mei – “Memanglah tidak perlu ‘berkokok’ untuk isytihar kejayaan Pakatan Harapan (PH) sebab tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan,” bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa PH tidak perlu menjerit sepanjang masa untuk memberitahu kejayaan yang telah dilakukan.


Jelas beliau, setahun PH mentadbir negara ini, hanya lawak jenaka ‘u-turn’ barisan kabinet yang dihidangkan kepada rakyat.


“Umum mengetahui sememangnya PH tidak menyangka mereka menang pada PRU-14 yang lalu dan kerana itu mereka tidak bersedia menjadi kerajaan. Namun itu bukan alasan untuk mereka merosakkan negara ini.


“Sekarang ini bukan soal PH atau BN tetapi ini soal masa hadapan negara dan rakyat. Sekiranya negara ini rosak maka semua orang tidak kira parti apa yang terpaksa menanggungnya. Jika dulu kita bangga dengan negara Malaysia tetapi sekarang Bloomberg telah mengesahkan ekonomi negara teruk. Bukan itu sahaja, sejak PH memerintah, Malaysia juga menduduki tempat ke-80 negara paling bahagia dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 (WHR), iaitu penurunan sebanyak 45 tempat berbanding kedudukan ke-35 pada 2018,” ujar beliau kepada UMNO-Online .



Tambah Farid, baru setahun memerintah tetapi telah banyak ‘luka’ yang diberi kepada rakyat negara ini khususnya anak muda yang terlalu mengharap agar hutang PTPTN dihapuskan, tol dimansuhkan dan harga minyak diturunkan kepada RM1.50.


“Janji untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan juga umpama ‘mimpi dalam mimpi’ pemimpin dan pendokong PH apabila saban hari berita yang dihidangkan hanyalah mengenai pelaburan keluar, penutupan operasi kilang-kilang dan penamatan kontrak penjawat awam.


“Ini semua antara janji PH maka mahu atau tidak janji harus ditunaikan. Bila PH dikatakan munafik mereka tidak boleh terima… mereka beri alasan kononnya hutang negara RM1 trilion dan ini menyebabkan segala janji tidak dapat ditunaikan. Berhentilah memberi alasan dan akui sahaja bahawa PH sememangnya sekadar berjanji manis semata-mata untuk mengelirukan rakyat.


“Bila sudah menjadi kerajaan, barulah PH sedar bukan mudah untuk mentadbir negara… untuk kritik memanglah senang sebab boleh cakap apa sahaja tapi untuk laksana belum tentu,” bidas beliau.


Tanpa menyalahkan pengundi, beliau menyeru kepada rakyat negara ini khususnya anak muda untuk terus menilai kepimpinan PH dan buatlah pertimbangan sewajarnya apabila tiba PRU-15 nanti. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop