Expired : 18.06.18

Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah


KOTA KINABALU, 29 Safar 1440H, Rabu – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri baru Sabah adalah mengikut Perlembagaan, dan oleh itu beliau merupakan ketua menteri negeri yang sah.


Hakim Datuk Yew Jen Kie menegaskan, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman telah hilang keyakinan majoriti, apabila enam Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah daripada Barisan Nasional beralih memberi sokongan mereka kepada Mohd Shafie.


Beliau memutuskan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah menggunakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah untuk melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu Sabah, setelah mendapati Musa tidak lagi mendapat keyakinan majoriti Adun.


“Sejajar dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Musa wajib berundur atau atau mengosongkan jawatan itu apabila beliau hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).


“Berlandaskan sebab di atas, maka saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri,” kata beliau serta memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.


Yew membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan daripada peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S.Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind, yang mewakili Mohd Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, yang mewakili Juhar pada 24 Oktober.


Pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman terhadap Mohd Shafie, tetapi menariknya kembali. Bagaimanapun, pada Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah, bahawa, antara lain, beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah seperti yang dilantik Yang Dipertua Negeri pada 10 Mei – Bernama



The post Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop