Expired : 18.06.18

Shafie Apdal kekal KM Sabah [METROTV]

PASUKAN peguam Tan Sri Musa Aman akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini yang menolak saman difailkan beliau sekali gus mengekalkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.


“Sudah tentu kita berasa kecewa dengan keputusan pada hari ini. Bagaimanapun, suka saya menekankan bahawa isu ini bukan soal sama ada saya menjadi Ketua Menteri (Sabah) atau tidak.



“Ini soal yang sangat penting iaitu mengenai keluhuran dan tafsiran yang sebenar terhadap Perlembagaan Negeri serta kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk melantik dan memecat Ketua Menteri.


“Saya berpendapat bahawa isu ini belum selesai sepenuhnya pada hari ini. Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini,” katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.


Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mahkamah, keluarga, pasukan peguam dan semua penyokong setia yang sentiasa menjunjung dan menghormati Perlembagaan Negeri Sabah.


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebentar tadi menolak saman difailkan Musa terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie sekali gus Mohd Shafie kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.


Hakim Datuk Yew Jen Kie dalam penghakimannya menegaskan tindakan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah yang menyokong pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP dan PKR membuktikan Musa hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).


Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tidak timbul isu Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bertindak ultra vires dengan menyingkirkan Musa kerana beliau dianggap sudah mengosongkan pejabat apabila menolak meletakkan jawatan selepas hilang majoriti.


Jen Kie turut memutuskan bahawa Juhar boleh bergantung kepada enam perakuan bersumpah dibuat ADUN BN yang menyokong Mohd Shafie bagi membuat keputusan bahawa Musa hilang penguasaan majoriti DUN.


Berita berkaitan


Keputusan siapa KM Sabah, petang ini...


Norlida Ishak Shop