Expired : 18.06.18

Shamsul: Henti lagakan Tun M dan Anwar

Ketua Penerangan KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin menggesa pihak yang cuba melaga-lagakan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim berhubung peralihan jawatan perdana menteri agar berhenti berbuat demikian.


Menurutnya, motif mereka amat jelas apabila sengaja mengulang-ulang berita yang sama pada setiap masa.


“Ia sengaja diulang-ulang dengan niat untuk mencari sesuatu berita yang boleh disensasikan di samping cuba untuk melaga-lagakan hubungan baik antara Mahathir dan Anwar,” katanya dalam kenyataan semalam.


Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengingatkan pihak berkenaan bahawa Pakatan Harapan faham dan akur tentang isu peralihan jawatan perdana menteri.


“Bahkan, Mahathir juga telah berkali-kali mengulangi komitmen beliau untuk mengotakan janjinya namun ketika ini perdana menteri beserta barisan ahli kabinet beliau sedang bertungkus lumus untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.


“Justeru itu, semua pihak dimohon untuk memberikan ruang masa kepada Tun Mahathir untuk merealisasikan janji memulihkan ekonomi sekaligus menyelamatkan negara dari musnah akibat dari masalah-masalah meruncing yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.


“Sesungguhnya KEADILAN percaya kesejahteraan rakyat Malaysia adalah menjadi keutamaan kedua-dua negarawan ini dan proses peralihan jawatan akan berlaku sepertimana yang telah Mahathir janjikan dalam suasana yang penuh tertib, permuafakatan dan kemesraan.


“Maka oleh kerana itu, tidak perlulah pihak-pihak yang bagaikan api dalam sekam ini berterusan mencuba secara halus mecetuskan api permusuhan sebaliknya adalah lebih elok untuk mereka menumpukan kepada perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.


Norlida Ishak Shop