Expired : 18.06.18

Siasatan Kes Kematian Adib Selesai





Jan 10, 2019

0 Comments







KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.


Beliau berkata kertas siasatan itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.


Muhammad Adib, 24, cedera parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lepas dan anggota bomba itu disahkan meninggal dunia pada 18 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.


Noor Rashid berkata beliau difahamkan bahawa pihak Timbalan Pendakwa Raya telah memfailkan kes itu di mahkamah.




“Mahkamah akan mula (pendakwaan) dalam masa terdekat jadi biar mahkamah menentukan,” katanya pada sidang akhbar selepas forum bertajuk ‘Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?’ di sini Khamis.


Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.


Dalam perkembangan lain, Noor Rashid berkata tiga individu yang ditahan kerana dilapor menghina Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong telah dibebas dengan jaminan polis.


Beliau berkata polis akan menghantar kertas siasatan sebaik dilengkapkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.


“Kami menjuruskan kes ini mengikut Akta Hasutan 1948. Polis mengambil tindakan kerana sekiranya dibiarkan tular tanpa kawalan dikhuatiri akan mencetuskan situasi yang mengancam keselamatan negara,” katanya.


Noor Rashid berkata empat laporan polis diterima berhubung kes itu dan polis mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan dan mengelak sebarang musibah mahupun ancaman kepada negara.


Beliau berkata pihak berwajib perlu mewujudkan satu undang-undang baharu bagi mengawal aktiviti media sosial supaya tidak disalahgunakan.


Pengguna media sosial juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan berita yang disebarkan tidak menjejaskan keharmonian negara, katanya.


Pada Rabu, polis menahan tiga individu yang memuat naik di media sosial komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.


Ahad lepas, Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa serta merta.


Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016. – BERNAMA





Loading...








Artikel Berkaitan



Norlida Ishak Shop