Expired : 18.06.18

Siasatan terhadap pegawai Tabung Haji mesti telus: PAS

BANGI, 25 Rabiulawal 1440H, Isnin – Setiap kesalahan, penyelewengan atau salah laku yang mempunyai bukti kukuh dan saksi, perlulah dibawa ke muka pengadilan mengikut tatacara penyiasatan dan pendakwaan yang telus, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan.


Mengulas laporan polis yang dibuat Tabung Haji (TH) terhadap bekas pegawai kanan agensi itu, beliau berkata, PAS mengalu-alukan sebarang tindakan memperbetul dan memperbaiki institusi penting umat Islam itu dan siasatan perlu dilakukan secara telus.


Beliau berkata, perbuatan yang salah, tetap salah dan tidak sepatutnya ada kompromi.


“Tentukan kesalahan itu melalui proses keadilan yang betul dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan selama ini. Demikian yang benar itu benar. Maka jangan runtuhkan kebenaran itu dengan fitnah dan tohmahan. Akhirnya rosak nilai sebuah kebenaran.


“Kita tidak mahu ianya ‘dihukum’ oleh orang ramai melalui persepsi dan olahan media massa serta kenyataan-kenyataan politik yang mengelirukan malah menambah buruk keadaan.


“Justeru, kaedah Islam dan pengadilannya, mana-mana pihak pun yang didakwa atau dituduh, tidaklah boleh dihukum bersalah sehingga jelas terbukti bahawa mereka bersalah melalui proses penghakiman yang adil dan telus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Pada masa sama, Ustaz Nasrudin berharap pendedahan terhadap penyelewengan yang didakwa berlaku dalam TH, bukan hanya sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan PH terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti kukuh.


“Jangan pula ianya dibuat hanya untuk mengalih perhatian rakyat terutamanya masyarakat Islam dan Melayu daripada Himpunan Tolak ICERD yang akan diadakan pada Sabtu ini.


“Lebih malang lagi sekiranya ianya dibuat dengan niat yang tidak baik dan mempunyai agenda tertentu untuk meruntuhkan satu institusi Islam serta menghilangkan keyakinan umat Islam terutamanya pendeposit terhadap TH,” tegasnya.


Jumaat lalu, TH telah membuat laporan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini melibatkan bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah dan kakitangan pengurusan kanan.


Kakitangan kanan itu ialah Datuk Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi) dan Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).


Laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22.0 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ini bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.


Para pemegang amanah YTH pada masa itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi dan Rozaida.


YTH ditubuhkan pada tahun 2016 untuk melaksanakan antara lain, bantuan kemanusiaan dan untuk menyumbang kepada yang kurang mampu, golongan miskin dan yang memerlukan. TH menyumbang RM7.0 juta kepada program tersebut.


Laporan kedua terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina berhubung dengan salah nyataan dan pemotongan maklumat penting yang melibatkan jualan 95 peratus saham PT TH Indo Plantations pada tahun 2012 yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$ 910 juta.


PT TH Indo Plantations memiliki ladang kelapa sawit seluas 83,000 hektar di Indonesia.


The post Siasatan terhadap pegawai Tabung Haji mesti telus: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop