Expired : 18.06.18

Simpan, kurung beruang matahari, Zarith Sofia didakwa di mahkamah

ARTIS Zarith Sofia Yasin, bekas peserta program realiti ‘Rockanova’, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari atas tuduhan menyimpan dan mengurung anak beruang matahari di rumahnya minggu lalu.


Zarith Sofia atau nama penuhnya, Zarith Sofia Mohd Yasin, 27, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.


Berdasarkan kertas pertuduhan, penyanyi itu didakwa menyimpan seekor beruang matahari (Helarctos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman di Sentrio Pandan, Jalan 3/76D, Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 8 malam, 6 Jun lalu.


Bagi pertuduhan itu, Zarith Sofia didakwa mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


Mengikut seksyen tersebut, Zarith boleh dihukum mengikut Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu bagi pertuduhan kedua, di tempat dan masa sama, tertuduh didakwa mengurung anak beruang matahari itu di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar berkenaan.


Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Zainol Abidin manakala Zarith Sofia diwakili peguam Datuk Mohd Haziq Pillay Abdullah.


Terdahulu, Munirah tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan jenayah membabitkan hidupan liar adalah perbuatan jenayah serius yang membabitkan kepentingan awam.


“Dikhuatiri jika tertuduh dilepaskan dengan jaminan, dia akan mengganggu saksi yang terbabit dalam perbicaraan.


“Namun jika mahkamah ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan memohon satu jaminan tinggi iaitu RM30,000 iaitu 10 peratus daripada nilai denda maksimum bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.


Haziq bagaimanapun memohon satu jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh adalah penyanyi yang menyara keluarga dengan pendapatan RM3,500 sebulan.


“Ayah dan ibunya mengendalikan warung makanan di Melaka dan ayah tertuduh juga baru saja menjalani pembedahan tumor,” katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai ini.


Media sebelum in melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan penyanyi wanita kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan di sini.


Wanita berusia 27 tahun itu ditahan pada 8 malam selepas Perhilitan menerima maklumat awam dan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya.


The post Simpan, kurung beruang matahari, Zarith Sofia didakwa di mahkamah appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop