Expired : 18.06.18

Siri II: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia


Neraka dunia


Jauh panggang dari api apabila mendengar ulasan bekas-bekas ‘banduan kem pembelajaran semula’ tentang keadaan di dalam kem tersebut berbanding propaganda yang dilaungkan oleh Xi Jinping.


Tidak tahan dengan penyeksaan yang dihadapi, Mihrigul Tursun, wanita berusia 29 tahun yang ditahan sebanyak 3 kali sejak tahun 2015 mengungkapkan “saya merayu agar mereka membunuh saya,” katanya sewaktu menerangkan dengan terperinci tentang pengalaman pahitnya sebagai tahanan. Beliau kini tampil memberi kenyataan secara umum tentang agenda hina China.


Tiada siapa dapat membayangkan betapa jijiknya propaganda Xi Jinping apabila meneliti deskripsi ‘fantasi’ China berbanding keadaan realiti yang di tanggung oleh para tahanan. Petikan bernombor di bawah merupakan kenyataan-kenyataan yang dilontarkan oleh gabenor Xinjiang, Shohrat Zakir.



  1. ‘(Kami) menitikberatkan kesihatan mental para pelajar.. dan menyediakan servis kaunseling’


Realiti: Pn. Tursun pernah di soal siasat selama 4 hari 4 malam sehingga diserang penyakit sawan dan tidak sedarkan diri. “Tidak pernah satu hari berlalu tanpa saya mengalirkan air mata mengenangkan tentang apa yang berlaku kepada saya mungkin berlaku kepada anak-anak saya,” kata Meripet. Seorang bekas tahanan pula mengakui pernah cuba untuk membunuh dirinya dek kerana penyeksaan yang berterusan.



  1. ‘Kafetaria menyediakan makanan bernutrisi’


Realiti: Bekas tahanan memperlihatkan fizikal yang lemah dan kurang bernutrisi. Pn. Tursun mengakui bahawa mereka dipaksa mengambil pil dan minuman yang menyebabkan para wanita tidak lagi mengalami menstruasi. Ada juga yang meninggal dunia.



  1. ‘Setiap dorm dilengkapi dengan radio, televisyen dan alat pendingin hawa. Kemudahan untuk aktiviti Bola Keranjang, Bola Tampar, Ping Pong dan Persembahan Pentas turut disediakan’


Realiti: Di dalam lokapnya, Pn. Tursun diletakkan bersama-sama 60 tahanan lain. Apabila ingin tidur, 15 orang terpaksa berdiri dan yang lainnya tidur dalam keadaan mengiring. Mereka akan bergilir-gilir untuk berdiri dan tidur sepajang dalam tahanan. Hanya dalam masa 3 bulan, beliau telah menyaksikan kematian 9 ahli lokapnya.


Mihrigul Tursun


  1. ‘Aktiviti seperti menyanyi, menulis dan pertandingan tarian dianjurkan buat para pelajar’  


Realiti: Indoktrinasi politik dan penderaan fizikal serta mental diberikan kepada para tahanan. Mereka dipaksa menyanyi lagu yang mengagungkan Parti Komunis serta sering diberitahu bahawa hanya dengan menjadi seorang Uighur itu adalah satu jenayah. Mereka turut di kenakan hukuman renjatan elektrik di atas ‘tiger chair’ dan dipukul bertubi-tubi sehingga ada yang menyebabkan kematian.


“Parut pada badan saya masih kelihatan kerana dipukul. Tangan dan buku lali yang pernah dirantai masih terasa sakit. Telinga sebelah kanan saya tidak lagi boleh mendengar disebabkan pukulan mereka,” menurut ucapan Pn. Tursun.


Ablet Tursun Tohti yang kini berada di Turki pula menggambarkan senario di sana seperti berikut: setiap pagi sejam sebelum matahari terbit, para tahanan dipaksa berlari. “Ada satu bilik khas untuk menghukum mereka yang tidak laju berlari. Ada dua lelaki di dalam bilik tersebut- satu akan melibas menggunakan tali pinggang manakala satu lagi akan menendang.” “Kami mengalunkan lagu ‘Tanpa Parti Komunis, Tiadalah China Baru. Kami turut di ajar undang-undang (komunis). Jika tidak membaca dengan betul, kami akan dipukul.”



  1. “Para pelajar mengaku bahawa mereka pernah terlibat dengan fahaman ekstremis dan tidak pernah berpengalaman meyertai aktiviti kesukanan dan kesenian seperti ini. Kini mereka sedar betapa indahnya kehidupan.”


Realiti: Sebelum dilepaskan dari tahanan, Pn. Tursun dipaksa untuk membaca skrip dihadapan kamera yang berbunyi “Saya adalah warganegara China dan saya sayangkan China. Saya tidak akan melakukan apa-apa yang dapat memburukkan China. China telah membesarkan saya. Pihak polis tidak pernah menyoal saya, menyeksa saya atau menahan saya.”    


Di samping informasi yang diberikan oleh Pn. Tursun dalam sebuah sidang di Washington pada 26 November 2018, banyak lagi bukti-bukti lain yang telah dapat dikutip oleh para pengkaji dan wartawan yang menemu bual bekas tahanan kem. Namun begitu, mereka meminta agar identiti mereka dirahsiakan kerana khuatir tindakan akan diambil terhadap ahli keluarga mereka yang lain. Meskipun telah berada di A.S, namun mereka masih dalam kegusaran sekiranya tindak tanduk mereka di awasi oleh China. Pn. Tursun sendiri pernah diekori oleh sekumpulan lelaki warga China. “Saya masih takut pada malam hari sekiranya polis China akan mengetuk pintu rumah, mengambil saya dan membunuh saya,” ujarnya. 



Antara hukuman yang pernah dibongkar oleh bekas tahanan dan para wartawan adalah seperti berikut:



  • Dipukul, ditendang, dilibas sehingga menyebabkan kematian

  • Dipaksa ambil pil dan minuman yang tidak diketahui

  • Dikenakan renjatan elektrik berkali-kali

  • Sesi soal siasat yang berlangsung berhari-hari

  • Air kotor disumbat melalui hidung

  • Tangan dan kaki di ikat lalu ditenggelamkan

  • Tangan dan kaki di ikat dalam posisi yang menyakitkan

  • Wanita dirogol dan banyak lagi bentuk hukuman yang tidak sanggup dibayangkan oleh akal manusia yang sihat.


Indoktrinasi anak-anak yatim beribu bapa


Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Meripet menceritakan bagaimana beliau dan suaminya ke Turki untuk melawat ayahnya yang sakit di sana manakala 4 orang anak-anaknya yang berumur dalam lingkungan 3 hingga 8 tahun diletakkan dibawah penjagaan ibunya di China. Namun begitu, selepas pihak China mula menahan warga Uighur atas dakwaan subversif jenayah seperti perjalanan ke luar negara, mereka mengetahui bahawa perjalanan yang pada asalnya bersifat sementara itu bertukar menjadi tetap. Berita terakhir yang diterima oleh mereka adalah berkenaan penahanan ibunya manakala anak-anaknya dibawa ke tempat yang tidak mereka ketahui.


Menurut laman Independent, sementara ibu bapa ditahan di kem pembelajaran semula tersebut, pemerintah China meletakkan kanak-kanak Uighur dalam ‘pusat anak-anak yatim’ yang bertujuan untuk memisahkan generasi muda ini daripada adat resam dan kepercayaan keluarga mereka. China sememangnya berhasrat untuk melenyapkan identiti etnik tersebut dengan menekankan penghormatan terhadap guru melebihi dari ibu bapa. Kanak-kanak ini diwajibkan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin atau hukuman berat seperti rotan bakal dikenakan sekiranya didapati bertutur dalam bahasa Uighur.


Kajian menunjukkan sejak awal tahun lepas, kerajaan menganggarkan lebih 30 juta dollar digunakan untuk membina 45 rumah anak yatim yang dipanggil ‘pusat kebajikan’ beserta katil untuk 5,000 orang kanak-kanak.


Rata-rata mereka dipisahkan secara paksa daripada ibu bapa yang tidak mengetahui lokasi anak-anak mereka. Sekiranya ingin berjumpa, ibu bapa terpaksa berpuas hati dengan tempoh satu hari atau tidak dibenarkan berjumpa sama sekali.



Dilnur, pelajar perniagaan yang berusia 35 tahun memberitahu bahawa pegawai China sering melawat ‘tadika’ anaknya dan bertanya sama ada ibu bapa membaca ayat-ayat agama atau menjalankan ibadah di rumah. Hal ini memaksa anak-anak untuk menjadi ‘perisik’ keluarga sendiri!


Apabila ditanya, pihak berkuasa Xinjiang menyatakan bahawa pusat-pusat tersebut adalah percuma dan akan membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menampung yuran pembelajaran. Alasan mereka, membesarkan anak-anak ini berdasarkan standard Mandarin bakal memberi peluang pekerjaan yang cerah.


“Apa yang kita lihat adalah situasi sama seperti penerokaan kolonial dahulu di mana seluruh generasi akan hilang”, kata Darren Byler, pengkaji adat Uighur di University of Washington.


Nur ‘Athira Faisal Sabri


Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.


Siri I: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia


The post Siri II: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop