Expired : 18.06.18

Skim PeKa B40 masih dalam fasa projek perintis


BANGI, 27 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata ,Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran yang diadakan pada Isnin lalu adalah sesi untuk media bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap skim PeKa B40.


Malah, pada fasa itu juga katanya, KKM membuka ruang untuk mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh lain terhadap skim berkenaan.


Dzulkefly berkata, pembabitan dan sokongan setiap pemegang taruh adalah amat penting bagi memastikan kejayaan skim PeKa B40, iaitu satu inisiatif yang memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam–swasta melalui pembiayaan daripada dana kerajaan.


“Bagi fasa projek perintis skim PeKa B40, pemegang taruh swasta yang akan terbabit dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit adalah pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat makmal perubatan swasta.


“Selari dengan matlamat saya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan premier di negara ini, skim PeKa B40 secara langsung akan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik perubatan am swasta dengan pengamal perubatan di fasiliti perubatan kerajaan.


“Sehubungan itu, pemilik klinik perubatan am swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan serta memenuhi kriteria pemilihan yang ditetapkan dipelawa untuk menyertai skim ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata, KKM sentiasa menyanjungi pandangan serta cadangan semua pihak yang akan terbabit dalam menjayakan skim PeKa B40.


“Oleh demikian, mulai bulan ini, KKM akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan pembabitan mereka dalam skim ini,” katanya.


Pelaksanaan skim PeKa B40 adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.


The post Skim PeKa B40 masih dalam fasa projek perintis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop