Expired : 18.06.18

SPR Perlu Siasat Segera Ucapan Rasis Menteri Di PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas kenyataan berbaur rasis yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dilapor ketika berucap dalam perjumpaan tertutup di Parlimen Tanjung Piai.


Jelas beliau, video ucapan Salahuddin yang tular itu sangat berbahaya dan boleh mendatangkan keburukan kepada negara.


“Saya terkejut bila tengok video tular itu… yang bercakap adalah seorang menteri dengan membangkitkan dan menggambarkan satu suasana yang cukup rasis jika UMNO dan PAS memerintah suatu hari nanti.


“Dia membayangkan kalau UMNO dan PAS menjadi kerajaan negara ini akan huru-hara, ada pembunuhan dan negara ini ada dua sahaja iaitu masuk syurga atau neraka.



“Bagaimana seorang yang bertaraf menteri berkempen dalam program tertutup dan mengeluarkan kenyataan yang sangat rasis. Ini dari segi Akta Pilihan Raya ia adalah salah dan patut disiasat atas ucapan yang dikeluarkan itu,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.


Tambah Mahdzir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus melihat perkara ini secara serius dan mengambil tindakan yang sewajarnya.


“Kenyataan menteri ini adalah cubaan menakut-nakutkan masyarakat.


“UMNO, BN dan PAS meletakkan calon MCA dalam PRK Tanjung Piai… itu pun sudah menunjukkan kita buat keputusan tidak berlandaskan rasis.


“Jadi bagaimana menteri tersebut boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu sedangkan ucapan itu sangat berbahaya,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop