Expired : 18.06.18

Spurs tak kejar gelaran

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menafikan dakwaan pasukannya boleh mencabar gelaran Liga Perdana menjelang pertemuan tetangga utara London itu dengan Arsenal esok, walaupun pasukannya kini berkedudukan ketiga.


Skuad Pochettino mengagumkan minggu lalu apabila memberikan kekalahan pertama musim ini kepada Chelsea menerusi kemenangan 3-1 di Wembley, yang meletakkan mereka di atas skuad kendalian Maurizio Sarri dalam liga, lima mata di belakang pendahulu, Manchester City.


Spurs kali terakhir bergelar juara pada 1961 tetap tidak menamatkan kedudukan di bawah tangga ketiga Liga Perdana sejak tiga musim lalu.



Pochettino bagaimanapun berkata, Spurs tidak berada pada tahap yang sama dengan empat pencabar teratas terutama ketika kelab utara London itu tidak menandatangani pemain pada penutup musim berbanding pelaburan besar di buat kelab lain.


“Saya tidak boleh katakan kami pencabar gelaran. Saya rasa Manchester City berada pada tahap berbeza. Kelab seperti Liverpool, Chelsea, (Manchester) United dan Arsenal membuat pelaburan lebih besar berbanding kami, tahap berbeza,” kata pengendali dari Argentina itu.


“Mereka adalah pencabar utama, lebih daripada kami. Tapi kami berada di situ. Jika kami boleh lakukan dalam tempoh beberapa bulan terakhir dan berada dalam posisi yang bagus dalam liga, kami akan cuba lakukan.”


Pertemuan esok di Emirates akan menyaksikan sekali lagi pertembungan Pochettino dengan jurulatih Arsenal, Unai Emery. Kedua-duanya bertemu tujuh kali dari 2009 hingga 2012 ketika pengendali Argentina itu melatih Espanyol dan Emery di Valencia.


Norlida Ishak Shop