Expired : 18.06.18

Stephen sedia andai diperlukan

"SAYA serahkan sepenuhnya keputusan kepada MHC (Konfederasi Hoki Malaysia)."


Demikian pandangan Stephen Van Huizen iaitu salah seorang staf kejurulatihan yang kontraknya tidak disambung selepas berakhir esok oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).


Menjadi antara jurulatih paling senior di negara ini dengan pengalaman hampir 30 tahun, Stephen berkata selagi khidmatnya diperlukan oleh MHC, maka selagi itu beliau akan cuba memenuhi tanggungjawab yang diberikan.


"Saya tidak katakan bahawa saya sangat teruja untuk menggalas tugas sebagai jurulatih tetapi saya bersedia galas tanggungjawab itu jika diperlukan.


"Jika tidak, saya akan teruskan dengan kehidupan seharian seperti biasa," kata pengendali berusia 61 tahun itu.


Jelas Stephen, sepanjang membimbing skuad negara sejak 1991 dengan tugasan terakhir sebagai pengurus dan penolong jurulatih kepada Roelant Oltmans, banyak kenangan pahit dan manis yang dilaluinya.


Antara yang tidak dapat dilupakannya adalah membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik, Piala Dunia selain menyaksikan Malaysian Tigers meraih pingat perak pada 2010 di Guangzhou dan 2018 di Jakarta.


"Saya rasa sudah membantu pasukan mencapai apa yang disasarkan sejak 2015 iaitu ketika di bawah kepimpinan baru MHC.


"Sekarang ini saya tidak terbabit dengan sebarang bidang kejurulatihan termasuklah di saingan liga. Saya hanya mahu berehat seketika dan menghabiskan masa bersama keluarga," katanya.


MHC sebelum ini memutuskan untuk tidak menyambung kontrak jurulatih kebangsaan termasuklah ketua jurulatih skuad wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah; jurulatih penjaga gol lelaki, Mohd Nasihin Nubli dan jurulatih skuad remaja, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.


Nasib kesemua jurulatih itu dijangka akan diketahui pada Mac bergantung kepada perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN).


Norlida Ishak Shop