Expired : 18.06.18

Suami isteri direman 7 hari bantu kes langgar lelaki







BANGI, 10 Zulhijjah 1440H, Ahad – Pasangan suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang maut akibat pergelutan dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pasangan suami isteri berusia 40 dan 36 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Sabtu.

Beliau berkata, kejadian bermula berikutan perselisihan faham antara suspek dan mangsa selepas berlaku kemalangan kecil berhampiran susur Bandar Baru Bangi, menghala selatan.

“Akibat kejadian itu berlaku kejar-mengejar dan pergaduhan antara suspek dengan si mati yang berumur 29 tahun.

“Beberapa pemandu lain ada berhenti dan mententeramkan mereka sebelum kedua-duanya kembali ke kereta namun simati yang tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu besbol dan memukul bahagian hadapan kereta suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, suspek ditemani isteri yang berada dalam kereta ketika itu terus memandu dalam keadaan tergesa-gesa.

“Susulan itu, suspek terlanggar si mati menyebabkannya tersepit di antara kereta dan penghadang jalan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Nilai dilapor meninggal dunia ketika dirawat.

Pada masa sama, Fadzil turut menafikan bahawa kes kemalangan dan perselisihan faham itu berpunca daripada isu perkauman.

“Motif kejadian berpunca daripada isu kemalangan jalan raya dan tiada kena mengena dengan isu perkauman yang tular di media sosial,” katanya.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.









 


The post Suami isteri direman 7 hari bantu kes langgar lelaki appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop