Expired : 18.06.18

Subeditor Suara KEADILAN meninggal dunia

Subeditor Suara KEADILAN, Muhammad Noraizie Ramlan, 29, meninggal dunia di Institut Perubatan Respiratori di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 1.30 petang, semalam.


Lebih dikenali sebagai Ermizi Muhammad, Allahyarham menderita penyakit tersebut sejak Aidilfitri lalu.


Beliau pernah ke HKL, Hospital Ampang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan bagi penyakitnya.


Ketua Pengarang Suara Keadilan, Najib Hashim, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang kakitangan yang sangat komited dan berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya.


Menurut Najib, Noraizie menghubunginya sehari sebelum ke HKL dan menzahirkan kerisauan tentang tugas-tugas pejabat kerana perlu bercuti sakit selama dua minggu.


“Malah, perbualan dalam WhatsApp semalam (Selasa) dia rasa bersalah kerana tak dapat membantu kerja-kerja di pejabat,” katanya.


Bekas pensyarah penulisan kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Ridzuan Harun, mengenang Noraizie sebagai seorang bekas pelajar yang sangat sopan dan berbudi bahasa.


“Ketika mendaftar masuk sebagai pelajar, Noraizie mencari saya – sekadar untuk mengucapkan terima kasihnya kepada saya kerana memilihnya untuk masuk ke ASWARA.


“Tidak ramai pelajar yang berjumpa guru sebenarnya, untuk mengucapkan rasa terima kasih, walaupun kita sebenarnya tidaklah sangat mengharap atau meminta ucapan terima kasih itu – kerana merasakan itulah tugas atau kerja kita.


“Tapi kerana dia mengucapkan terima kasih, maka saya akan mudah untuk mengenang,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.


Selain Suara Keadilan, Noraizie juga pernah bertugas di SelangorKini, dan portal berita ProjekMM.


Suara KEADILAN amat terasa dengan pemergian Noraizie dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga beliau.


Norlida Ishak Shop