Expired : 18.06.18

Subsidi petrol: Tiada lagi janji PH turun harga minyak RM1.50

BANGI, 10 Safar 1441H, Rabu – Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) semalam, membuktikan langkah yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah formula terbaik untuk negara.


Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, jika dulu PH mengecam tindakan BN mengamalkan sistem apungan harga minyak setiap minggu, kini cara itu juga yang dilaksanakan kerajaan berkenaan.


Sambil menyindir, beliau berkata, melalui pelaksanaan program berkenaan, hilang satu lagi janji pilihan raya PH kononnya mahu menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter.


“Sekiranya kerajaan serius untuk melaksanakan semula sistem apungan minyak ini, kerajaan juga harus menjelaskan kepada rakyat adakah mereka akan melaksanakan sama seperti BN dahulu iaitu ada had tertentu. 


“Kerajaan perlu beri penjelasan dan jaminan apakah tindakan yang akan diambil sekiranya pasaran harga minyak global terus naik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Terdahulu, Saifuddin Nasution mengumumkan kadar subsidi petrol adalah RM30 bagi kereta dan motosikal RM12 setiap sebulan.


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 2.9 juta penerima akan mendapat manfaat daripada program subsidi berkenaan dan anggaran tanggungan bagi pelaksanaannya adalah RM65.4 juta sebulan.


Pada masa sama, harga petrol RON95 juga akan diapungkan mulai tahun depan ekoran perlaksanaan PSP itu.


Mengulas lanjut, Noraini berkata, sudah semestinya rakyat tidak boleh dibebankan sekiranya harga minyak naik kerana ia akan memberi implikasi tidak baik, terutama kepada harga barang runcit.


“Di samping itu, mekanisme pelaksanaan PSP yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan harus dikaji semula kerana subsidi yang dicadangkan dibimbangi tidak sampai kepada kumpulan sasar kerana sistem digunakan tidak efektif. 


“Ini kerana, kerajaan menggunakan data pangkalan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai kenderaan. Persoalannya, bagaimana jika penerima berkenaan tidak mempunyai kenderaan? 


“Adakah mereka akan menerima bantuan atau subsidi yang lain? Selain itu, subsidi yang diberikan juga terlalu rendah dan tidak munasabah,” katanya.


The post Subsidi petrol: Tiada lagi janji PH turun harga minyak RM1.50 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop