Expired : 18.06.18

Sukan Panna ada potensi

PEMAIN sukan gelecek bola atau Panna, Luqman Hakeem Ameer Hussin, 21, menaruh harapan tinggi untuk mewakili negara dengan menyertai kejohanan antarabangsa di Denmark, tahun depan.


Dalam Pesta Futsal Rakyat 2019 di ibu negara pada 1 September lalu, pereka grafik itu meraih pingat emas dan Piala Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus menduduki ranking pertama pemain ketika ini.


Luqman yang bergiat aktif sejak lima tahun lalu menganggap sukan Panna itu berbeza dengan bola sepak sedia ada kerana lebih memfokuskan kemahiran menggelecek bola yang tinggi.


“Saya kini mempersiapkan diri untuk menyertai kejohanan Panna tahunan anjuran Copenhagen Panna House, Denmark yang juga acara paling berprestij bagi sukan ini dengan disertai 28 negara.


“Namun, saya kini mengharapkan suntikan dana dan penaja bagi merealisasikan impian mewakili Malaysia dalam acara berkenaan tahun depan,” katanya yang dikenali sebagai Kuna kepada Arena Metro.


Selain menjuarai pelbagai kejohanan tempatan, dia pernah menyertai beberapa pertandingan di Singapura.


Sukan Panna yang terkenal di luar negara itu membabitkan saingan ‘satu lawan satu’ dengan mempamerkan kemahiran menggelecek bola dan menjaringkan gol ke pintu gawang lawan.


Tempoh tiga minit diperuntukkan bagi pemain menjaringkan sebanyak mungkin gol sekali gus menjadi pemenang.


Namun, jika bola ‘lolos’ di celah kelangkangnya, pemain itu secara automatik kalah dalam permainan berkenaan.


Norlida Ishak Shop