Expired : 18.06.18

Sultan murka kes bahan kimia


BANGI, 5 Rejab 1440H, Selasa – Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, murka dan kesal terhadap pihak yang terbabit dalam kes pembuangan bahan kima ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan buruk kepada murid sekolah dan orang awam.


Menzahirkan kemurkaan menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda menitahkan pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu.


Pada masa sama baginda menzahirkan penghargaan terhadap pasukan perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada mereka yang dimasukan di Hospital Sultan Ismail (HSI).


“Disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah ada yang bertarung nyawa dalam ICU!


“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya.


“Saya berasa amat sedih apabila melihat ramai yang merana akibat tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang hanya melakukan tugas – seperti pemandu ambulans, pekerja kantin sekolah,” titah Baginda kepada Royal Press Office hari ini.


Baginda turut menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di sekitar kawasan kejadian, supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.


“Sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru. Kurangkan juga seberapa banyak pergerakan di luar,” titah baginda.


Khamis lalu media melaporkan 1,400 pelajar sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.


Kedua-dua sekolah kemudian dibuka semula kemudian, tetapi ditutup selepas gelombang kedua pencemaran bahan kimia itu berulang, menyebabkan 207 mendapatkan rawatan sehingga 11 malam tadi.


Pencemaran itu terus merebak, di mana hari ini jumlah mangsa yang menghadapi pelbagai simptom meningkat kepada 260 orang, terutama pelajar sekolah.


Dua sekolah iaitu SK dan SMK Tanjung Puteri Resort turut ditutup hari ini.


Semalam, tiga lelaki terdiri daripada pemilik kilang memproses bahan kimia dan pemilik kilang memproses bahan lusuh bersama pekerjanya ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke sungai itu.


The post Sultan murka kes bahan kimia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop