Expired : 18.06.18

Sultan Nazrin ingatkan jangan cetus provokasi


KUALA KANGSAR, 23 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan rakyat, khususnya pemimpin untuk tidak melakukan provokasi dan menyemarakkan permusuhan masyarakat berbilang agama di negara ini.


Baginda yang juga Sultan Perak menzahirkan rasa dukacita kerana suasana harmoni yang menjadi budaya rakyat negara ini sejak sekian lama kini mahu dimusnahkan disebabkan persaingan politik.


“Amatlah mendukacitakan, satu suasana harmoni yang begitu berharga, yang telah sekian lama adalah budaya hidup yang diamalkan oleh majoriti rakyat di negara ini, kini mahu dimusnahkan, semata-mata disebabkan persaingan politik berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.


“Sebaliknya pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat,” titah baginda.


Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Konvokensyen ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini, hari ini yang menyaksikan seramai 1,303 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.


Baginda bertitah, suasana negara yang aman dan hubungan harmoni antara rakyat berbilang kaum serta agama adalah faktor negara dapat dibangunkan secara produktif.


Titah Sultan Nazrin, terdapat negara yang menghadapi konflik sehingga musnah kerana perselisihan yang berpunca daripada perbezaan mazhab, berlainan agama, kelainan kaum, tuntutan autonomi wilayah dan berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik.


Baginda bertitah, Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik, namun pemimpin terdahulu memilih untuk tidak berkonflik.


“Para pemimpin yang mengasaskan negara merdeka ini, memilih untuk menerokai titik persamaan dan menyuburkan semangat bekerjasama.


“Kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah membangunkan sebuah negara yang rakyatnya berjaya disatukan, hendaklah terus kita pupuk, agar kita juga dapat mewariskan, sebuah negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur kepada generasi akan datang,” titah baginda.


The post Sultan Nazrin ingatkan jangan cetus provokasi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop