Expired : 18.06.18

Sumareh enggan hanyut dek pujian

SUPERSUB Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh enggan hanyut dengan pujian menggunung peminat bola sepak tempatan di atas kemenangan dramatik 3-2 pasukan negara membenam Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.


Sumareh atau mesra dengan panggilan 'Keli boy' bukan hanya menjaringkan dua gol, malah gol kemenangannya pada lewat permainan berjaya menghadiahkan tiga mata penting dalam aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.


Malah, apa yang lebih mengujakan sudah tentunya kejayaan gemilang skuad kendalian Tan Cheng Hoe menamatkan kemarau kemenangan di Gelora Bung Karno yang kali terakhir di lakukan pada 2004 ketika saingan separuh akhir pertama Piala AFF di mana Malaysia mencatat keputusan 2-1.


Tonggak naturalisasi pertama berasal dari Gambia itu berkata, kunci kejayaan memadamkan ego skuad Garuda itu bukanlah disebabkan oleh dirinya semata-mata, tetapi ia hadir atas kerjasama berpasukan yang cukup tinggi untuk mencapai kemenangan.


"Bila saya masuk saya mahu berikan yang terbaik buat pasukan tidak kisah sama ada sebagai pemain utama atau gantian.


"Kemenangan ini hasil usaha sepasukan bukan dari saya sepenuhnya tetapi hasil bantuan rakan yang membantu satu sama lain. Ini kombinasi yang terbaik dan kita bergerak sebagai satu unit," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi, semalam.


Kehadiran Sumareh bersama Harimau Malaya sejak Piala AFF tahun lalu ternyata berbaloi dan berjaya menambah sengat jentera serangan pasukan dengan dia kini sudah merekodkan lima gol di peringkat antarabangsa termasuk dua gol di Gelora Bung Karno.


Jelas pemain Pahang itu, situasi tegang yang ditimbulkan penyokong tuan rumah dengan merusuh hingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-70, sebenarnya adalah kelebihan buat kem negara untuk memperkemaskan aksi sebelum ia disambung lapan minit kemudian.


"Bukan mudah bermain di depan seramai 80,000 penyokong Indonesia.


Insiden yang berlaku (penyokong merusuh) sebaliknya ia membakar semangat pasukan dan ia memberi kami masa untuk bangkit dan itu yang akhirnya memihak hingga tiupan wisel dan saya gembira kami dapat bawa pulang tiga mata," katanya.


Norlida Ishak Shop