Expired : 18.06.18

Supachai Jaided, pemain bolasepak Thailand yang beragama Islam

Penulis berpeluang mengenali dengan lebih dekat beberapa pemain muda negara, yang kini menjadi tonggak skuad senior dan juga skuad B-23 kebangsaan.


Antaranya ialah Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan dan Jafri Firdaus Chew.


Namun, di sebalik kesemua pemain tersebut, penulis sempat juga berkenalan dengan salah seorang pemain B-19 Thailand yang kini menjadi tonggak skuad senior negaranya di Piala Suzuki AFF.


Pemain yang penulis maksudkan ialah penyerang muda Buriram United, Supachai Jaided.


Ketika itu, skuad Thailand menewaskan skuad B-19 Tahun negara kendalian Hassan Sazali Waras 5-0 di separuh akhir dengan Supachai turut beraksi sebagai pemain gantian.


Meskipun kurang menyerlah berbanding beberapa rakan sepasukannya ketika itu, penulis tertarik dengan potensi yang dipamerkan Supachai.


Pemain muda kelahiran Pattani itu selesa beraksi sebagai pemain sayap, tengah serta penyerang utama.


Penulis sempat berbual dengan Supachai, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Vientiane kerana kami berada dalam penerbangan sama menuju Bangkok dan dari Bangkok penulis mengambil penerbangan sambungan ke Kuala Lumpur.


Ketika menegur Supachai, penulis tidak tahu dia seorang Muslim yang berasal dari Pattani.


Namun, firasat penulis ketika itu berasa Supachai seorang Muslim kerana dia tidak menyertai rakan sepasukannya yang lain dalam satu upacara keagamaan Buddha di hotel penginapan pasukan, sebelum aksi separuh akhir dengan Malaysia.


“ Hello, you speak English?” tanya penulis kepada Supachai.


“ Little bit only…sorry,” jawab Supachai kepada penulis.


Penulis kemudian terus bertanya kepada Supachai, mengapa dia tidak menyertai upacara keagamaan dengan rakan sepasukannya.


“Oh, I no Buddha,.. I muslim, from Pattani,” jawab Supachai kepada penulis dan selepas itu perbualan kami terus saja dalam Bahasa Melayu apabila dia mengetahui penulis merupakan wartawan dari Malaysia.


Meskipun fasih berbahasa Melayu, loghat percakapan Supachai mirip dialek Kelantan memandangkan dia dari Pattani.


Supachai mengakui kepada penulis, dia mempunyai ramai saudara mara di Rantau Panjang serta di negeri Kelantan dan kerap mengunjungi mereka ketika musim perayaan.


Ketika 2015, Supachai baru berusia 17 tahun tetapi sudah mempunyai semangat yang kuat untuk berjaya dalam bola sepak.


“Saingan cukup sengit di Thailand, ia bukan mudah kerana ramai pemain berbakat di sana dan kerana itu, saya perlu bekerja keras.


“Selepas ini saya perlu mencuba mendapatkan tempat dalam skuad B-23 dan senior Thailand serta berharap, dapat menyertai salah satu kelab utama di Liga Satu Thailand dalam masa beberapa tahun,” kata Supachai kepada penulis pada 2015.


Ternyata apa yang disasarkan Supachai menjadi kenyataan selepas perbualan penulis dengannya di bumi Laos.


Supachai berhijrah daripada kelab asalnya, Samut Sakhon City Power, ke kelab gergasi Thailand, Buriram United, pada 2017 dengan nilai perpindahan sebanyak USD260,000 (RM1.09 juta), meskipun baru berusia 19 tahun ketika itu.


Kini, Supachai adalah tonggak muda harapan pengendali Thailand, Milovan Rajevac, dalam formasi 3-4-3 yang digunakan pasukannya.


Kehadiran Supachai tampak membuatkan tindakan Thailand untuk tidak membawa tonggak senior seperti Teerasil Dangda dan Chanatip Songkrasin (tidak mendapat pelepasan kelab mereka di Liga J) tidak menjejaskan usaha mereka memburu kejuaraan Piala Suzuki AFF kali ini apabila mudah menguasai saingan Kumpulan B.


Supachai bakal menjadi ancaman utama skuad Harimau Malaya dalam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Semalam


Cheng Hoe, mengakui sedar Supachai adalah penggerak utama Thailand dalam saingan Piala Suzuki kali ini meskipun Adisak Kraison lebih mencuri tumpuan selaku penjaring utama.


Jadi penulis percaya, Cheng Hoe dan tenaga kejurulatihan skuad negara sudah mengkaji percaturan taktikal yang bersesuaian untuk menyekat ancaman Supachai.


Secara peribadi, penulis meminati corak permainan Supachai serta kagum dengan kecekalan pemain itu untuk berjaya meskipun dia daripada keturunan minoriti di Thailand.


Namun, sudah pasti penulis mendoakan kejayaan skuadf Harimau Malaya dan penulis yakin dengan barisan sedia ada negara ketika ini, kita mampu melakar kejayaan di Piala Suzuki kali ini.


Thailand mempunyai Supachai, tetapi kita juga mempunyai tonggak muda yang mampu menyinar seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid serta pemain Liga Satu Thailand, Shahrel Fikri Md Fauzi, pada pusingan kedua nanti.


Penulis juga percaya, pasukan Harimau Malaya akan mampu menjaringkan gol dalam pertemuan pada hari rabu ini.


Norlida Ishak Shop