Expired : 18.06.18

Superstar 'Galacticos II' impian Zizou [VIDEO]

ZINEDINE Zidane kembali ke Real Madrid dengan impian era baru ‘Galacticos II’ bersama kelab gergasi Sepanyol itu.


Bekas pemain legenda Perancis itu membuat keputusan mengejutkan apabila kembali semula selepas 10 bulan meninggalkan kelab itu ketika mereka mencapai status hatrik Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.


Los Blancos mendapatkan semula khidmat Zidane atau Zizou selepas Real gagal mencabar La Liga biarpun dikendali dua pengurus baru sejak dia meninggalkan kelab itu.


Penyingkiran UCL tewas kepada Ajax minggu lalu sudah cukup untuk Real memecat Santiago Scolari yang mengendali selama empat bulan selepas menggantikan Julen Lopetegui.


Zidane kembali dengan presiden Florentino Perez bersetuju dengan permintaannya sanggup berbelanja tinggi musim depan bagi merombak semula skuad itu.


Perez sebelum ini menolak permintaan Zidane yang menyebabkan dia meninggalkan kelab itu.


Kali ini, beliau tidak menolak kemungkinan mendapatkan Neymar dan rakan sepasukan Kylian Mbappe dari PSG.


Bintang Tottenham, Christian Eriksen berada dalam senarai pembelian terbaru dengan Zidane juga dikatakan cuba mengubah minat pemain Manchester United, Paul Pogba agar ke Real.


Malah, Eden Hazard berpeluang mencapai impian berpindah ke Bernabeu ketika dia masih belum menandatangani kontrak bersama Chelsea.


Bukan itu saja, Real juga cuba membawa pemain tengah bertahan terbaik dunia, N'Golo Kante yang tidak dimanfaatkan oleh Maurizio Sarri di posisi sepatutnya di Stamford Bridge.


Zidane difahamkan mahu menukar jentera tengah kurang mantap dikendali oleh Toni Kroos dan Luka Modric.


Status penjaga gol United, David De Gea yang belum menandatangani kontrak jangka panjang bersama United membuatkan Zidane membuat percubaan terakhir mendapatkannya selepas membawa Thibaut Courtois musim lalu.


Norlida Ishak Shop