Expired : 18.06.18

Sweden mara pusingan 16 terakhir

SWEDEN menghasilkan permainan menyerang mengagumkan untuk membenam Thailand 5-1 di Nice, Perancis malam ini sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir bola sepak Piala Dunia Wanita.


Thailand, hadir selepas rekod kekalahan 0-13 di tangan juara bertahan Amerika Syarikat pada aksi pertama Kumpulan F, melepaskan dua gol dalam tempoh 20 minit pertama ketika mereka bergelut menangani pertarungan di udara menentang pemain Sweden yang tinggi belaka.


Pertahanan tengah Linda Sembrant memecah kebuntuan buat Sweden menerusi tandukan susulan sepakan percuma Elin Rubensson, sebelum pemain tengah Kosovare Asllani menampan masuk bola muntah bagi gol kedua.


Fridolina Rolfo merembat masuk gol ketiga dari luar kotak penalti ketika Sweden mengakhiri babak pertama dengan tiga gol buat kali pertama sejak menang pada penentuan tempat ketiga menentang Jerman pada 1991.


PEMAIN Thailand meraikan gol sulung mereka menerusi Kanjana pada Piala Dunia Wanita. — FOTO EPA



Penyerang Lina Hurtig menambah satu gol buat Sweden menerusi tandukan untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada babak kedua namun ia tidak menghalang Thailand, yang mencipta beberapa peluang menerusi penyerang Rattikan Thongsombut.


Thailand akhirnya meraih gol sulung mereka pada kejohanan itu apabila kapten Kanjana Sung-ngoen meluru untuk merembat bola melepasi jangkauan penjaga gol Hedvig Lindahl.


“Gol ini amat bermakna buat kami,” kata jurulatih Thailand, Nuengrutai Srathongvian.


“Gol ini membuatkan kami ketawa, tersenyum dan gembira. Kekalahan pada perlawanan terdahulu terlalu besar – ya, kami amat kecewa. Tapi kami masih perlu meningkat untuk merapati pasukan kuasa besar.”


Masih ada masa buat Sweden untuk membalas selepas Elin menyempurnakan penalti, yang diberikan oleh pengadil bantuan video apabila Natthakarn Chinwong dipersalahkan kerana memegang bola.


Norlida Ishak Shop