Expired : 18.06.18

Switzerland mudah benam Gibraltar

SWITZERLAND hanya memerlukan 37 minit untuk merobek pertahanan Gibraltar sebelum menang 4-0 manakala Denmark kecewa apabila terikat tanpa jaringan dengan Georgia dalam aksi Kumpulan D kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.


Ireland menduduki tangga teratas kumpulan dengan 11 mata daripada lima perlawanan, dua mata mengatasi Denmark, diikuti Switzerland ketinggalan satu mata di belakang dengan baki satu perlawanan.


Georgia mengumpul empat mata dan Gibraltar gagal meraih sebarang mata dan jaringan.


Edimilson Fernandes dua kali hampir merobek gawang lawan buat Switzerland dan Loris Benito menggegar tiang sebelum Gibraltar terpaksa menukar penjaga gol pada minit ke-23 apabila Dayle Coleing mengalami kecederaan dan digantikan Kyle Goldwin.


Pertahanan Gibraltar terus kental sehinggalah tandukan Denis Zakaria hasil sepakan sudut menggegar gawang pada minit ke-37.


Admir Mehmedi menambah jaringan kedua menerusi satu lagi tandukan, hasil hantaran Fabian Schaer pada minit ke-43 dan Ricardo Rodriguez meledak jaringan ketiga sebelum tamat separuh masa pertama.


Granit Xhaka membuat beberapa percubaan selepas rehat dan satu daripadanya berjaya ditangkap kemas Goldwin.


Skuad Switzerland terpaksa bersabar menanti jaringan berikutnya, tiga minit sebelum tamat perlawanan apabila percubaan Mehmedi terkena pemain pertahanan dan melantun kepada Mario Gavranovic yang merembat bola tepat ke gawang.


Norlida Ishak Shop