Expired : 18.06.18

Syarat lulusan UEC masuk PISMP tak masuk akal

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


BANGI, 27 Rejab 1441H, Jumaat – Syarat kemasukan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi calon UEC disifatkan untuk mengaburi mata orang Melayu, apabila dilihat serupa dengan lulusan Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU).


Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raouf Husin berkata, sepatutnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak perlu mengaitkan SMA atau SMU kerana sijil mereka diiktiraf oleh kerajaan.


“Walaupun alasannya mereka ini diterima masuk ke IPG semata-mata atau khasnya bertujuan untuk mengajar atau menjadi guru Bahasa Cina di SJKC, tetapi saya amat yakin sebenarnya itu adalah helah mereka sahaja.


“Kalaulah Bahagian Sekolah Harian atau Jemaah Nazir Sekolah Kementerian Pendidikan pergi menyiasat dengan teliti ke SJKC ini, saya amat yakin pasti akan ada antara guru-guru yang mengajar subjek lain selain Bahasa Cina.


“Ini terbukti pada tahun 1999, apabila Bahagian Sekolah KPM membuat kajian terperinci mendapati seramai 1,280 guru-guru di SJKC ketika itu yang bukan ‘opsyen’ Bahasa Melayu (BM) dan yang tidak layak mengajar BM telah ‘disonglap’ dan diterima masuk mengajar subjek berkenaan,” dakwanya kepada Ismaweb.net.


Mengulas lanjut, Abdul Raouf mendakwa, dengan persetujuan Menteri Pendidikan ketika itu dan demi kebajikan dan kepentingan murid-murid SJKC, maka Bahagian Sekolah menempatkan 1,280 guru BM yang ‘beropsyenkan’ BM.


Bagaimanapun katanya, timbul pelbagai isu dan tuntutan dari Dong Jiao Zong, MCA serta golongan cauvinis yang menuntut semua 280 guru-guru itu (kebetulan hampir semuanya guru Melayu) dikeluarkan dan digantikan dengan guru yang hanya berkelulusan SPM Bahasa Cina sahaja.


“Bagaimanapun tuntutan mereka tegas ditolak Bahagian Sekolah dan Menteri Pendidikan,” kata beliau.


Lantaran itu, Abdul Raouf berkata, amat wajar sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN), KPM dan Menteri Pendidikan hari ini menamatkan pengambilan pelajar lulusan UEC yang tidak diiktiraf melalui syarat minima yang tidak masul akal serta tidak adil kepada pelajar aliran kebangsaan.


Katanya, ini demi menjunjung kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan Fasal 152; Akta Pendidikan 1996; Dasar Pendidikan Kebangsaan; Rukun Negara; serta Falsafah Pendidikan Negara.


Selain itu, Wasiat Raja-Raja Melayu; Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67; dan demi keadilan tanpa mengkhianati pelajar sekolah aliran kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.


The post Syarat lulusan UEC masuk PISMP tak masuk akal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.