Expired : 18.06.18

Syor gabung UMT, UniSZA satu langkah ke belakang


BANGI, 12 Muharram 1441H, Khamis – Cadangan untuk menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disifatkan sebagai satu langkah ke belakang dalam mempromosikan Terengganu sebagai destinasi yang mempunyai pelbagai pilihan universiti untuk pengajian tinggi. 


Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, penggabungan kedua-dua universiti itu akan menganggu visi dan misi serta perancangan korporat jangka panjang masing-masing.


“Bila kita gabungkan dua universiti yang sudah sedia mencipta nama dengan kecemerlangan dalam pengkhususan tertentu, misalnya UMT yang menjadi tumpuan bagi kajian sains samudera, hidrografi.


“Manakala UniSZA pula sinonim dengan kecemerlangan yang lain misalnya pengajian perubatan, hospital UniSZA serba canggih sedang disiapkan, sudah tentu perencanaan pernyataan misi dan visi masing-masing serta perancangan korporat jangka panjang masing-masing perlu dirombak dan diubah suai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bahkan, beliau berkata, cadangan itu juga akan menimbulkan rasa kecewa rakyat Terengganu.


Ini kerana, katanya, semasa kerajaan negeri menyerahkan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada kerajaan Persekutuan, ia adalah dengan satu pemahaman bahawa Terengganu telah bertambah lagi satu universiti yang menjadi pilihan selain UMT dan UiTM. 


“UniSZA sendiri masih mengekalkan nama Almarhum Sultan Zainal Abidin sebagai mengambil kesinambungan dari KUSZA yang asal yang pada asalnya menjadi milik kerajaan KDYMM Sultan Terengganu. Sekali pun karakter sebagai institusi pengajian pelbagai bidang dengan berteraskan persekitaran yang Islamik telah pun semakin pudar identitinya bila ia diserahkan kepada persekutuan suatu ketika dahulu.


“Bila ia digabungkan nanti dengan UMT, bagaimana pula falsafahnya nanti? Masih adakah kelebihan tertentu untuk rakyat Terengganu dari segi kuota pengambilan pelajar atau peluang menjadi pensyarah, kakitangan universiti?,” soalnya.


Sebuah portal berita pada Khamis melaporkan, bahawa UMT dan UniSZA mungkin digabungkan sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan bagi institusi pembelajaran tinggi.


Semalam, jemaah menteri yang bermesyuarat pada 4 September lalu, bersetuju secara prinsip berhubung penggabungan UMT dan UniSZA.


Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan berkata, penggabungan itu merupakan salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi.


Mengulas lanjut perkata itu, Ahmad Amzad menegaskan, bahawa perlu peruntukan yang sentiasa dipertingkatkan untuk mengembangkan setiap universiti supaya meningkat ke satu tahap lagi. 


“Geran penyelidikan dan pembangunan, kajian dalam bidang bidang baru yang berpotensi untuk manfaat negeri, negara dan dunia secara keseluruhannya perlu terus dicari jalan penambahan nilai ringgit pelaburan dan juga kualiti keberhasilan.


“Ia jangan disamakan menguruskan entiti perniagaan dengan institusi universiti. Adakah kerajaan merancang pengurangan kakitangan besar besaran melalui proses ini? Downsizing, Rightsizing?


“Adakah ia sebahagian proses pengurangan kakitangan awam yang sedang diperkatakan?,” soalnya.


The post Syor gabung UMT, UniSZA satu langkah ke belakang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop